Kekeliruan Penangguhan Projek RTS: Johor Rugi Lagi

1. Sebelum ini saya pernah persoalkan keseriusan Kerajaan Pusat tentang projek RTS yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

2. Memandangkan projek ini sangat penting dan memanfaatkan ramai pengguna di Johor dan rakyat Malaysia umumnya, saya mohon pada Kerajaan Persekutuan agar diteruskan dan tidak menjadikan projek RTS sebagai korban politik seperti projek HSR dan lain-lain.

3. Menteri Pengangkutan menjawab perkara tersebut bahawa projek ini akan diteruskan namun Malaysia perlu berbincang dengan Singapura. Lalu kita minta tangguhkan pelaksanaannya. Bukan sekali, tetapi dua kali. Dan penangguhan tersebut berakhir bulan Oktober lepas.

4. Beberapa hari lalu, muncul laporan panas yang menyatakan kita sebenarnya telah pun meminta penangguhan kali ketiga selama 6 bulan lagi.

5. Tetapi, memandangkan sekarang musim PRK di Tanjung Piai, Menteri Pengangkutan dengan yakin dan tegas mengatakan tiada penangguhan kali ketiga. Malah Perdana Menteri sendiri pada 31 Oktober 2019 mengumumkan projek ini akan diteruskan dengan pengurangan 36% kos.

6. Malah, Kenyataan Media Majlis Setiausaha Pakatan Harapan turut menyelar laporan tentang permintaan penangguhan kali ketiga tersebut sebagai palsu.

7. Akan tetapi, yang mengejutkan kita adalah apabila Menteri Pengangkutan Singapura memberikan penerangan bertulis dalam dewan parlimen republik itu bahawa sememangnya Malaysia ada meminta lanjutan penangguhan kali ketiga. Namun perbincangan berhubung kos tidak boleh diputuskan memandangkan kerajaan Pakatan Harapan sebenarnya belum pun memberikan perincian penuh dan maklumat yang mencukupi berhubung perkara tersebut kepada Singapura.

8. Kita sudah pasti keliru dan tertanya-tanya. Siapa yang berbohong sekarang? Menteri Pengangkutan DAP dan PM Bersatu yang mempersendakan rakyat Johor atau Menteri Pengangkutan Singapura yang tidak bercakap benar kepada Parlimen negara tersebut?

9. Ini bermaksud PH dengan sengaja menyembunyikan perkara sebenar. Barangkali tindakan menyembunyikan fakta ini bertujuan untuk menutup kelemahan dan ketidakcekapan mereka untuk menguruskan projek ini. Rakyat sebenarnya boleh menerima alasan yang munasabah. Tidak perlu untuk berbohong dan menutup kebenaran.

10. Saya lihat semua ini sebagai sekadar dolak dalih yang hanya merugikan rakyat Johor. Semakin jelas yang Kerajaan Persekutuan memang tidak berminat memajukan negeri ini. Seakan ada sahaja alasan dan dalihan dari mereka setiap kali kita bercakap tentang kepentingan Johor.

11. Semoga kebenaran akan terlihat dan Johor tidak akan terus menjadi mangsa.

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO

6 November 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.