Penolakan Rakyat Empat PRK Berturut-turut, Kerajaan Perlu Bubar Parlimen

Rakyat telah bangkit dan memberikan isyarat yang jelas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 15,086 undi dan menyapu bersih kesemua pusat daerah mengundi merupakan manifestasi kepada penolakan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi oleh DAP.

Kemenangan dengan majoriti besar tersebut adalah diluar jangkaan sama sekali. Lebih-lebih lagi calon PH adalah dari parti Perdana Menteri iaitu PPBM malah Perdana Menteri sendiri turun ke Tanjung Piai. Malah Tanjung Piai merupakan negeri presiden PPBM.

Namun semua itu tidak mengubah keputusan rakyat Tanjung Piai yang 65% daripada mereka memberikan isyarat yang jelas melalui kertas undi.

Rakyat sebenarnya amat kecewa bukan sahaja dengan kegagalan kerajaan menunaikan manifesto mereka namun memperbodohkan rakyat dengan alasan-alasan seperti mereka membuat manifesto yang tidak boleh ditunaikan kerana tidak yakin mereka akan menang di dalam PRU14. Yang menambahkan kekecewaan rakyat adalah apabila dasar kerajaan yg dilihat gagal malah telah membebankan hidup mereka.

Kejatuhan harga komoditi seperti sawit dan getah tidak mendapat pembelaan yang wajar. Harga sawit dan getah terus rendah namun menteri hanya mengumumkan kempen minum minyak sawit dan tanam buluh.

Malah yang lebih membimbangkan apabila persatuan industri sawit India berkempen untuk memboikot minyak sawit Malaysia yang pastinya akan beri kesan kepada harga sawit kerana India mengimpot 4.1 juta tan sawit setahun.

Nelayan di Tanjung Piai juga menderita dengan pendapatan yang kecil dan tiada dasar baru untuk mengubah kehidupan mereka.

Kehidupan mereka terus terhimpit apabila harga barang terus meningkat.

Lebih membebankan lagi apabila insentif-insentif di bawah kerajaan BN telah dihapuskan.

Beban juga dirasai oleh pengundi-pengundi kaum cina yang merupakan pekebun kecil dan pemilik ladang sawit. Malah kaum peniaga cina juga menghadapi kesan akibat kelembapan ekonomi ketika ini.

Kesempitan masyarakat Melayu luar bandar di Tanjung Piai pastinya menjejaskan perniagaan mereka yang mana perniagaan mereka bergantung kepada pelanggan mereka yang terdiri dari masyarakat Melayu di luar bandar Tanjung Piai.

Walaupun menteri-menteri PH turun untuk memberikan janji-janji manis namun rakyat Tanjung Piai sudah tidak mempercayai PH lagi. Bagi mereka cukup lah sekali ditipu, mereka tidak rela ditipu secara berterusan lagi.

Sebab itu lah keputusan PRK Tanjung Piai memberikan mimpi ngeri dan buruk kepada kerajaan PH.

Keputusan rakyat Tanjung Piai bukan sahaja menggambarkan perasaan rakyat di Tanjung Piai namun mewakili perasaan rakyat Malaysia keseluruhan nya.

Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukan lah yg pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak 3 kali sejak PRK Cameron Highlands. Diikuti Semenyih dan Rantau. Majoriti kekalahan PH meningkat dari 3 ribu lebih di Cameron Highlands ke 4 ribu lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak ke 15 ribu lebih di Tanjung Piai.

Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini.

Keputusan Tanjung Piai merupakan referendum rakyat yang menolak kerajaan hari ini.

Oleh itu jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan parlimen.
Biarlah rakyat menentukan masa depan negara ini.

#PRKTanjungPiai
#BNMenang
#bubarparlimen

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia
Naib Presiden UMNO

17 November 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.