Janji Manifesto PH: Segera Tubuh RCI Tabung Haji!

1) Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar YB Menteri Agama, Datuk Dr. Mujahid Yusof dan Kerajaan PH segara mengotakan janji untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara total Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung pelbagai dakwaan salah laku dan penyelewengan yang berlaku di zaman pengurusan TH terdahulu.

2) Selepas 18 bulan PH memerintah, tiada satupun tangkapan, pendakwaan hatta laporan rasmi dikeluarkan oleh Kerajaan untuk menerangkan kepada rakyat mengenai kononnya wujud skandal salah laku di TH walhal ia adalah antara 10 Janji Utama Manifesto Buku Harapan pada Piliharaya Umum ke-14 lalu.

3) Kekanda YB Menteri pernah mendakwa defisit RM4.1 bilion yang dialami TH sebelum ini tidak mewajarkan pengagihan Hibah kepada pendepositor. Maka rakyat perlu diberi pencerahan lebih lanjut berhubung rasional penjualan aset-aset TH kepada syarikat milik MOF, Urusharta Jemaah Sdn Bhd sehingga RM17.3 bilion.

4) Persoalannya:-
(a) Apakah rasional penjualan aset-aset bernilai ini?
(b) Apakah ini tidak dikira ‘Bail-Out’, menjual aset-aset bernilai RM17.3 bilion untuk menutup defisit RM4.1 bilion?
(c) Ke mana perginya baki RM13.2 billion yang diperolehi dari penjualan aset-aset ini?

5) Sekiranya benar wujud skandal salah laku dan penyelewengan di kalangan Pengurusan TH terdahulu sebagaimana kuat dicanang-canangkan pimpinan PH, mengapa sehingga hari ini tiada sebarang tangkapan atau pendakwaan jenayah dibuat oleh Pihak Berkuasa kepada mana-mana individu terbabit? Ini hanya menyerlahkan pendustaan YB Menteri yang berkali-kali mendakwa Pengurusan TH lepas menyalahi Akta dengan membayar Hibah yang besar kepada pendeposit.

6) Semua ini hanya mengesahkan lagi tanggapan bahawa apa yang berlaku dalam tempoh PH memerintah adalah suatu sandiwara hebat bagi menutup kegagalan dasar ekonomi Kerajaan Pentadbiran PH sehingga menyebabkan nilaian aset-aset dan pegangan saham-saham utama TH seperti Hap Seng Plantations, Malakoff, UEM Sunrise, IJM dan lain-lain terjejas teruk sekaligus merendahkan nilai aset TH berbanding liabiliti, hingga TH hanya mampu mengagihkan Hibah terendah dalam sejarah iaitu 1.25 peratus!

7) Justeru, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sekali lagi MENDESAK agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat segala dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji sebagaimana janji PH segera ditubuhkan. Ini bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur institusi terulung umat Islam terus terpelihara!

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

21 November 2019


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.