UMNO Konsisten Sokong Perjuangan Sah Rakyat Palestin, Kerajaan Perlu Nyatakan Pendirian Plan ‘Trump’

SELASA lepas menyaksikan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akhirnya mengumumkan Pelan Perdamaian Timur Tengah yang sekian lama tertangguh. Pelan yang dirangka oleh penasihat Timur Tengah merangkap menantu Trump sendiri, Jared Kushner nyata hanya Plan untuk Israel dan bukannya Plan Damai Palestin-Israel.

Ia dirangka tanpa persetujuan, penglibatan malah tentangan pihak berkuasa Palestin.

Plan ‘Trump’, sama sekali tidak menghormati dan mengambil kira hak, tuntutan dan kepentingan Palestin sebagai pihak berkepentingan yang selama ini diceroboh, diusir dan ditindas Israel.

Mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel, menjadikan Lembah Jordan sebagai wilayah Israel, mengiktiraf semua penempatan haram di tanah milik Palestin sebagai wilayah berdaulat Israel dan melaksanakan undang-undang Israel di semua wilayah yang diduduki adalah salah, bercanggah dengan kepentingan Palestin dan melanggar ketetapan undang-undang antarabangsa.

UMNO kekal konsisten dengan pendirian tegasnya bahawa tidak boleh ada sebarang timbal balik dalam apa jua bentuk (trade-off) dalam perkara berkaitan Baitul Maqdis, Lembah Jordan, penempatan haram di tanah milik rakyat Palestin dan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah air mereka.

UMNO sama sekali tidak akan mengiktiraf kewujudan negara Israel dan akan selamanya mengangap Israel sebagai penceroboh dan pengganas ke atas hak, kedaulatan dan segala kepentingan Palestin.

UMNO akan terus membela, menyokong dan mengiktiraf perjuangan sah Palestin ke atas tanah air mereka. Ia akan menggunakan apa jua cara untuk terus mengecam Israel sebagai penceroboh, penaja keganasan dan pelaku pelbagai jenayah perang ke atas Palestin dan rakyatnya.

Kerajaan Malaysia harus segera menolak, mengutuk dan menentang Plan ‘Trump’ dan menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap kepentingan dan perjuangan sah rakyat Palestin.

Dato Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.