Malaysia Mesti Total Reset Hadapi COVID19

Setiausaha Agung UN, Antonio Guterres dalam kenyataan terbarunya menggambarkan bahawa krisis COVID-19 yang kita hadapi waktu ini adalah krisis paling parah dan mencabar semenjak Perang Dunia Kedua.

Guterres berkata, kombinasi ancaman kesihatan dan impaknya terhadap ekonomi akan menyumbang kepada “enhanced instability, enhanced unrest and enhanced conflict”.

Pendemik global ini tidak akan berakhir dalam masa terdekat. Ia akan berlarutan sehingga sekurang-kurangnya setahun ke 18 bulan. IMF telah mengisytiharkan bahawa dunia telah memasuki era ‘global recession’.

Bagi Malaysia, kehidupan dan tata kelola lazim telah berakhir dan telah muncul ‘the new normal’. Kita telah beranjak ke kelaziman baru yang asing dan kita mesti segera menyesuaikan diri kita.

Malaysia perlu memberikan perhatian kepada beberapa perkara utama.

Pertama, Malaysia mesti bersedia untuk melakukan ‘a total reset’ dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya. Memetik Prof Jomo, kita tidak lagi boleh kembali ke ‘status quo’.

Sebelum ini, orientasi ekonomi kita tujahannya ialah kebolehsaingan dan pendapatan tinggi. Sekarang keutamaan kita ialah membangun ketahanan ekonomi (economic resilience).

Kita mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan ‘crisis proof’ untuk kelangsungan ekonomi kita.

Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari. Semua ini memerlukan inovasi, pemikiran luar kelaziman, dan pendekatan ekonomi yang luar biasa.

Kedua, Malaysia mesti memberi tumpuan untuk merombak secara radikal sistem penyampaian Kerajaan. Beralih kepada Kerajaan Digital secara total bukan lagi pilihan. Tidak lagi boleh kita membiarkan sistem penyampaian kita lumpuh ketika berhadapan dengan krisis.

Contoh yang paling nyata ialah apabila sekolah terpaksa ditutup dan bagaimana kita tidak boleh beranjak ke ‘online mode’ dengan pantas dan segera. Akhirnya banyak sekali masa pembelajaran yang terbuang dan gagal dimanfaatkan.

Ketiga, kita mesti secara serius membangunkan kefahaman dan kesiapsagaan kita menghadapi ancaman bukan tradisional terhadap keselamatan negara. Pandemik, serangan siber, bencana alam, dan pelbagai lagi krisis yang mengancam kemanusiaan adalah ancaman nyata.

Malah Malaysia akan lebih terdedah kepada semua ancaman bukan tradisional ini, berbanding dengan peperangan atau ‘interstate conflict’. Namun, terlalu banyak sumber diperuntukkan kepada sektor pertahanan dan keselamatan tradisional sehingga pelaburan dalam kesediaan menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional diabaikan.

Kerajaan tidak lagi boleh mengambil pendekatan ‘ad hoc’. Kesiapsiagaan kita mesti mendahului masa. Pusat kebangsaan serupa ‘Centre for Disease Control and Prevention’ di USA sudah menjadi satu keperluan nasional dan mesti diutamakan.

Keempat, menghadapi krisis masa hadapan memerlukan kerjasama erat antarabangsa. COVID-19 mengajar kita betapa ia hanya boleh dibanteras melalui kerjasama erat antarabangsa. Justeru kita mesti mempergiatkan keterlihatan Malaysia dalam segala segi agar kita mempunyai ‘network’ yang produktif dan boleh dimanfaatkan sewaktu krisis.

Akhir sekali, di sebalik segala keterbatasan kita yang fana ini, daya usaha manusia sangat luar biasa apabila berhadapan dengan pancaroba luar biasa.

Ia tidak pernah dikalahkan oleh malapetaka yang paling dahsyat sekalipun. Malah kerap sekali terjelma keperkayaan semangat yang luar biasa.

Keperkasaan semangat untuk bangkit, merawat, melawan, membina, dan membangun semula segala yang terjejas, hilang, punah, dan binasa.

Justeru, Malaysia mesti kembali yakin kepada setiap warganya dan menggelorakan keperkasaan jiwa dan raga mereka untuk menjayakan Malaysia pasca pandemik ini. Insyallah, dengan ikhtiar dan keperkasaan semangat seluruh bangsa Malaysia, akan timbul fajar baru dan berlalulah segala gelap dan gelita.

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO


Tinggalkan Balasan

Your email address will not be published.