Mengukuhkan FELDA Demi Masa Depan Bangsa

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mempunyai kepentingan dan impak luar biasa dalam fabrik sosioekonomi Malaysia. Perkara ini digambarkan oleh Profesor Jeffrey Sachs, seorang tokoh ekonomi global, sebagai model pembasmian kemiskinan terbaik yang pernah beliau saksikan.

Sememangnya FELDA adalah projek pembasmian kemiskinan yang paling berjaya, sistematik dan transformatif. Ia berjaya meningkatkan taraf sosial kira-kira 122,000 keluarga generasi pertama dengan membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan. Peningkatan ini turut disusuli oleh ratusan ribu lagi generasi kedua dan ketiga yang telah menikmati kehidupan yang sejahtera, berpendidikan dan lebih baik.

Namun Malaysia berubah dan kemajuannya datang dengan seribu cabaran.

Demikian juga FELDA.

FELDA menghadapi pelbagai cabaran seperti pewarisan dan hak milik tanah; perumahan untuk generasi kedua dan ke atas serta dalam penempatan yang sama; peluang pekerjaan untuk generasi muda; peningkatan hutang peneroka; penglibatan belia; pembangunan pendidikan dan kelestarian sumber manusia. Namun cabaran paling besar ialah penyediaan FELDA untuk mendepani globalisasi dan mendahului persaingan dalam ekonomi yang semakin kompetitif.

Justeru , sesiapa yang memimpin FELDA mesti menangani empat cabaran penting.

Pertama, bagaimana untuk mengurangkan kebergantungan yang keterlaluan terhadap Kerajaan. Apatah lagi setelah lebih dari 60 tahun, pendapatan peneroka masih kekal rendah, terbelenggu dengan hutang dan kebanyakan generasi kedua dan ketiga terus berada dalam klasifikasi B40.

Kedua, menggunakan segala aset, pengalaman dan potensinya untuk menjadi katalis sebenar industri pertanian, makanan dan tenaga alternatif bagi menyokong kelestarian ekonomi Malaysia. Kita harus memperdayakan sektor yang kita mempunyai kelebihan dan pengalaman serta mengurusnya dengan lebih baik dan inovatif. Hanya dengan cara tersebut kita boleh meningkatkan kebolehsaingan Malaysia dan berada dalam mod pertumbuhan ekonomi yang produktif.

Ketiga, menggunakan FELDA untuk merancakkan pembangunan dan rejuvenasi luar bandar Malaysia. Kawasan luar bandar Malaysia selalu terpinggir dalam pemacuan ekonomi negara. Kita lebih ghairah dengan label ‘gig ekonomi’ dan pelbagai lagi label ekonomi yang tiada asas yang kukuh berbanding meneroka bagaimana aset strategik kita di luar bandar boleh dibangunkan dalam konteks ‘sustainable and modernised rural economy’.

Dan keempat ialah membangunkan generasi penerus FELDA supaya menjadi bakat terbaik, mandiri dan berkompetensi tinggi untuk terus kekal bergiat dalam industri pertanian, makanan dan tenaga masa hadapan. Kita mesti merancangkan strategi untuk generasi ini supaya mereka mempunyai kemahiran yang lebih unggul dan tidak meninggalkan FELDA. Hal ini kerana penghijrahan mereka akan menjadikan FELDA sebagai daerah desa dan kawasan pedalaman yang tidak berdaya ekonomi.

‘FELDA Global Blueprint’ mestilah menjadi keutamaan Kerajaan dan FELDA sekarang. Kertas Putih yang dibentangkan sebelum ini terlalu fokus kepada masalah tadbir urus FELDA. Menangani masalah tadbir urus FELDA tidak dapat mengatasi kepentingan mengurus masalah ‘structural‘ dan kebolehsaingan FELDA. Kita mempunyai tanggungjawab untuk memastikan FELDA dipacu dengan kedinamikan baru dan bukan sekadar menganggap ia sebagai vote bank untuk parti pemerintah. Kini masanya untuk kita ‘reimagine’ FELDA dan masa depannya telah pun sampai. Tanpa dorongan dan lonjakan untuk masa hadapan, FELDA akan terus menjadi beban yang berat kepada Kerajaan dan segala kejayaanya yang terdahulu akan hanya menjadi sejarah.

Dato Seri Utama Mohamad Haji Hasan
Timbalan Presiden UMNO