Kos Hantar Anak Ke Pusat Jagaan Membebankan, Puteri UMNO Mohon Perhatian Kerajaan

PADA 6 Ogos tempoh hari, kami ada membangkitkan masalah hilang pekerjaan dihadapi oleh wanita dan ibu tunggal yang menjadi ketua isi rumah.

Seperti dilaporkan sebelum ini golongan wanita antara yang terkesan teruk apabila dilaporkan 72.2% daripada bilangan hilang pekerjaan sehingga hari ini.

Di zaman serba mencabar ini ramai wanita terpaksa bekerja bagi membantu suami menampung kos sara hidup dan perbelanjaan keluarga.

Ini membuatkan ramai yang perlu menghantar anak ke pusat jagaan atau Taska berdaftar, dan ada juga yang terpaksa menghantar ke pusat jagaan tidak berdaftar untuk mendapatkan harga lebih murah.

Ramai para ibu mengadu kepada kami berkenaan kos yang tinggi bagi menghantar anak ke pusat jagaan sebagai contoh ‘Baby’ RM350 hingga RM450, RM300 bagi anak berusia 1 hingga 3 tahun, RM280 bagi anak berusia 4 hingga 6 tahun dan RM150 untuk setengah hari bagi anak bersekolah.

Justeru itu bagi mengurangkan beban mereka, Puteri UMNO Malaysia mencadangkan seperti berikut.

1. Wujudkan pusat penjagaan anak anak bagi penjawat awam di kementerian kementerian, dan staf di semua Syarikat Berkait Kerajaan (GLC).

2. Menggalakkan sektor swasta wujudkan pusat yang sama di dalam bangunan atau berhampiran mengikut kesesuaian.

3. Perkenalkan pakej bantuan khas kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak kepada pengasuh jika majikan tidak dapat menyediakan kemudahan tersebut.

4. Pihak Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat di minta memberi bimbingan dan permudahkan pendaftaran bagi pusat-pusat Jagaan kanak-kanak mengikut standard yang di tetapkan.

Diharap pihak kerajaan mengambil perhatian semua pandangan dan cadangan ini bagi mengurangkan beban tekanan sekali gus dapat mengekalkan kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah (B40).

Dato’ Zahida Zarik Khan
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia