BN Tidak Sertai PRK Batu Sapi Demi Kesejahteraan Rakyat, Elak COVID-19 Menular

Barisan Nasional (BN) telah mengambil keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, maklum Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, keputusan ini dibuat kerana BN merasakan COVID-19 hendaklah dielakkan dari menular, sekiranya PRK itu diadakan sebagaimana yang dialami sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.

“BN menyerahkan kepada kebijaksanaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memutuskan tempoh berkempen dan kesesuaian tarikh pengundian yang akan dilakukan kelak.

“Pada hemat BN, kesejahteraan dan kesihatan rakyat hendaklah menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dilaporkan, Dewan Rakyat Isnin lalu telah mengemukakan pemberitahuan kepada SPR berhubung kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P. 185 Batu Sapi, Sabah berikutan kematian penyandangnya Datuk Liew Vui Keong.

Selaras dengan Perkara 54 Fasal (1) Perlembagaan Persekutuan, pihak SPR hendaklah mengisi kekosongan kerusi berkenaan dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan suruhanjaya itu bahawa ada kekosongan.