SOP Keselamatan, Kesihatan Di Sekolah Perlu Dikaji Dan Dipantau Secara Berkala

SESI persekolahan secara bersemuka di seluruh negara melibatkan para pelajar yang akan menduduki peperiksaan seramai 524,718 orang membabitkan 400,445 calon SPM, 92,964 (STPM), 23,313 (SVM) dan 7,996 (STAM) telah dimulakan dalam situasi keadaan kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dengan mendadak.

Sekiranya perlaksanaan darurat ini adalah bertujuan untuk melindungi nyawa rakyat secara keseluruhannya sudah tentu anak-anak kita tidak seharusnya dipaksa untuk meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka kerana dikhuatiri akan timbul kluster baru melibatkan sekolah.

Tambahan pula, keputusan yang dibuat ini seolah-olah dalam keadaan yang tergesa-gesa, memaksa anak-anak kita untuk kembali ke asrama dan berulang alik untuk ke sekolah bagi menghadapi peperiksaan yang masanya cukup singkat, misalnya SPM, SVM dan STAM yang akan berlangsung lebih kurang sebulan lagi iaitu pada 22 Februari 2021.

Ironinya, timbul persoalan mengapakah sesi persekolahan masih dibenarkan di dalam tempoh darurat ini sedangkan di suatu sudut yang lain beberapa sektor terpaksa ditangguhkan dan dihentikan buat seketika?

Adakah nyawa anak-anak kita tidak bernilai sehingga diperjudikan sedemikian rupa?

Justeru itu, saya menggesa agar SOP kesihatan dan keselamatan di setiap sekolah dikaji dan di pantau secara berkala. Anggota sokongan seperti RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia disarankan membantu pematuhan SOP di sekolah-sekolah.

AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden UMNO
21 Januari 2021