Perkukuh UMNO, Kuatkan BN… Ikhtiar Untuk Jadi Pilihan Rakyat

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjelaskan bahawa UMNO sudah memutuskan untuk kembali dan menguatkan Barisan Nasional (BN) maka adalah tidak sihat untuk mengkritik parti secara terbuka kerana ia akan melemahkan setiakawan dan secara sistematik, mengelirukan parti.

Pada masa yang sama, katanya, kekuatan politik orang Melayu turut diusahakan bersama-sama PAS dalam Muafakat Nasional dan segala kerjasama membentuk kerajaan hanya akan dipertimbangkan setelah pilihan raya dan dibuat bersadarkan mandat dan pilihan rakyat.

“Ini keputusan parti dan keputusan bersama. Jadi, UMNO akan bekerja keras untuk menjayakannya. Berjaya atau tidak UMNO dalam ikhtiar ini sangat terletak kepada pilihan rakyat. Semua itu terpulang kepada keyakinan rakyat.

“Keputusan UMNO untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) adalah kerana kedua-duanya tidak pun diyakini oleh rakyat. Sebahagian daripada mereka juga sudah ditolak terang-terangan. Ada yang sampai diheret ke mahkamah oleh pengundi di kawasan mereka untuk dilucutkan dari jawatan,” katanya dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Ujar Khaled, kemerosotan populariti PN dan keraguan terhadap kemampuannya mentadbir negara menjadikan kerjasama UMNO dan PN tidak strategik.

“Apatah lagi tiadanya usaha radikal untuk menarik sokongan bukan Melayu. Jadi, apa motivasi dan alasan kukuh untuk terus mendesak UMNO dengan sebegitu rupa.

“Sekali pun UMNO sendiri sedang mengusahakan penyatuan politik Melayu, hakikatnya UMNO sangat sedar bahawa sokongan bukan Melayu turut penting. Tidak ada pihak yang dapat menafikan perkara ini.

“Atas dasar ini, UMNO yakin BN adalah satu wadah dan platform yang lebih sesuai, inklusif dan bersifat jalan tengah untuk semua. Bukannya PH atau PN.”

Jelasnya, UMNO memerlukan semua pihak untuk bersama-sama dalam perjuangannya serta membantu mengukuhkannya.

“Bukannya membiarkan UMNO diserang-serang, diperkotak-katikkan malah terus-menerus mempertahankan pula lawan dan mereka yang merendah-rendahkan UMNO.

“Parti ini lebih besar dari perjuangan dan kepercayaan seorang individu. UMNO adalah milik rakyat. Biarlah rakyat yang menentukan masa depan UMNO,” tegasnya lagi.