FDI: ‘Tewas’ Dengan Negara Jiran, Kerajaan Perlu Ambil Langkah Segera

PENGALIRAN masuk pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia jatuh 68% ke USD2.5 bilion pada 2020. ‘Tewas’ kepada negara-negara jiran.

FDI Singapura cuma jatuh 37% kepada USD58 bilion, Indonesia 24% ke USD18 bilion dan Vietnam 10% ke USD14 bilion.

Ini bukan saya kata. Ini laporan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD).

Malaysia yang suatu ketika dulu antara ekonomi paling pesat di rantau ini kini ketinggalan berbanding negara jiran dalam perang ekonomi melawan COVID-19.

Malah jika dilihat pada graf sumber dari Bank Dunia dan unjuran MIER, penurunan yang agak ketara pada ekonomi Malaysia sebanyak 2.9% pada tahun 2019-2020.

Benar COVID-19 menguncupkan ekonomi global, tetapi kestabilan politik tunjang utama dalam menarik minat pelabur langsung asing bertapak di negara ini.

Segan juga terbaca kenyataan Ketua Eksekutif Eurocham yang menyebut Malaysia memerlukan lebih dari beberapa kata-kata yang bagus dan ‘window dressing’.

Beberapa langkah segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan ini. Perlu ada ‘political will’ yang kuat untuk ini.

Antaranya kerajaan perlu berani dan bersedia untuk ‘sitdown’ dengan pelabur dan pemain industri.

Kestabilan politik perlu dikembalikan segera selepas ancaman COVID-19 dapat ditangani.

Proklamasi darurat dikhuatiri menyebabkan pelabur kurang yakin dengan kemungkinan dasar ‘nationalizing’.

Menawarkan insentif pengurangan cukai yang lebih menarik kepada perusahaan asing yang mahu beroperasi di negara ini.

Memantapkan sektor domestik seperti pembuatan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan lain-lain.

Kitaran ekonomi domestik yang sihat mampu menarik minat pelabur langsung asing.

Dan paling penting kebajikan rakyat perlu diutamakan bagi memperlihatkan Malaysia destinasi yang selamat kepada pelabur.

DATO’ SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI
PRESIDEN