Tak Perlu Burukkan UMNO… Hormati Institusi Dan Perkukuhkan Parti – Tengku Adnan

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak anggota parti untuk memperkukuhkan UMNO kerana perjuangannya tetap relevan demi agama, bangsa dan kedaulatan tanah air.

Katanya, sehingga kini asas tujuan UMNO juga masih tak berubah, sama ada UMNO sebagai kerajaan, pembangkang atau menyokong kerajaan, masih tetap juga menerima pelbagai kecaman yang diserang dari pelbagai pihak iaitu bukan hanya pihak lawan atau bekas pemimpin UMNO sendiri, tetapi ada juga yang cuba nak menangguk mencari peluang.

“Tak perlulah nak perburukkan parti atau mengaibkan imej kepimpinan yang ada sebaliknya, jika benar-benar ‘dah ukur baju di badan’ bila tiba masanya nanti letaklah nama dan bertandinglah dalam pemilihan. Sekarang ini, hormatilah institusi yang ada kerana mereka inilah yang telah mengemudi UMNO malah sanggup berlawan dan menang dalam pemilihan UMNO.

“Sekurang-kurangnya jika tak mahu kenang jasa mereka pun janganlah pula nak perburukkan organisasi dan institusi UMNO yang telah terbina,” katanya dalam kenyataan menerusi hantaran di facebooknya, hari ini.

Katanya, cogankata UMNO ialah ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’ dan tujuannya adalah berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan demi mengekalkan maruah dan martabat agama, bangsa dan negara yang jelas semuanya termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

“… tapi ada yang kata UMNO sekarang tak ada hala tuju… tak ada masa depan?

“Siapa yang berkata demikian sebenarnya adalah mereka yang gagal menghayati perjuangan UMNO atau ada sesuatu yang lain?

“UMNO pernah jadi tunjang kerajaan lebih 60 tahun, sudah belajar jadi pembangkang dan hari ini telah setahun jadi sebahagian kerajaan… asas tujuan UMNO juga masih kekal begitu dan tidak berubah.”

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, ahli-ahli UMNO yang ada hari ini tentunya tahu benar bahawa sokongan ke atas parti bukan semata-mata atas individu atau ada kepentingan peribadi kerana jika itu yang jadi paksi tentunya parti tidak akan berdiri.

“Siapa para pemimpin UMNO hari ini… sebenarnya merekalah pejuang parti kerana tetap bersama-sama ketika hilang kuasa, malah sanggup berdepan pelbagai kesulitan dengan tekanan yang bukan mudah, harga diri dipermainkan dan jadi mangsa perundangan terpilih yang terang-terang berlaku.

“Mana yang beralih sokongan maka akan terselamatlah dari cengkaman dan mana yang tinggal dalam UMNO terimalah natijahnya… tak apalah kerana Lillahi Taala penentu segala.

“Benar, selepas tarikh 9 Mei 2018 teraju parti ramai yang beralih tetapi ramai juga yang mengganti, dan pemilihan parti tahun itu pun ramai yang tawar diri. Mereka ini tetap dengan parti kerana yakin dan pasti dengan kebenaran.”

Ujarnya lagi, UMNO tetap UMNO dengan laksanakan amanah dan tak mahu terus menangisi mana-mana individu yang menjadikan parti batu loncatan atau tempat berpaut ketika berada dalam kesusahan. – UMNO Online