Sambung Yang Tergendala… Rakyat Diseru Lontar Cadangan Kembalikan Negara ‘On-Track’

SAMBUNG Yang Tergendala… mengajak segenap lapisan masyarakat dan rakyat negara ini untuk sama-sama tampil ke depan bukan sahaja untuk bercakap tentang masalah serta cabaran malah turut memberikan cadangan-cadangan penyelesaian agar negara kembali kepada landasan yang betul.

Ketua Penerangan UMNO yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Shahril Hamdan yang melontarkan perkara berkenaan menerusi video berdurasi 2 minit menerusi Facebooknya, berkata pandemik COVID-19 telah memusnahkan ratusan ribu pekerjaan dan sumber pendapatan rakyat.

Menurut beliau perjalanan sesebuah negara mencapai kemajuan ibarat keretapi menuju destinasi tetapi sekarang ianya seolah-olah ‘off-track’ dan perlu kembali ‘on-track’.

“Adakah kita mampu menggarap perancangan baru ke arah usaha kita untuk meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul ke arah negara maju yang berdaya saing dan rakyatnya sejahtera. Kita mesti lakukan. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih.

“Oleh itu saya mengajak kita semua untuk bersama dalam satu kempen…kempen yang meliputi segenap lapisan masyarakat yang bukan hanya nak bercakap tentang masalah dan cabaran tetapi terus memberikan cadangan-cadangan penyelesaian dasar untuk melonjakkan ekonomi rakyat, untuk tarik FDI (pelaburan asing), untuk kita tingkatkan tahap pendidikan, untuk kita pastikan kita mendepani pendigitalan dalam sektor pertanian contohnya,” katanya sebagaimana dilaporkan UMNO-Online.

Tambahnya lagi ini semua untuk masing-masing meletakkan Malaysia kembali ke landasan yang betul dan banyak lagi cadangan-cadangan yang mahu dikemukakan.

“Yang penting kita kena keluar daripada kerangka minda yang lazim dan tradisional. Cabaran yang kita hadapi sekarang ini memerlukan ‘new bold and innovative’. Kita tidak boleh lagi menggunakan kerangka dan sistem yang lama.

“Mungkin ada idea-idea yang dilihat radikal, terlalu berani mungkin ada yang dikritik tetapi itu yang kita mahukan kerana kita mahu garapkan semua idea ini dalam kempen ini untuk kita kembalikan Malaysia ke landasan yang betul dan semua ini untuk kita Sambung Yang Tergendala,” ujarnya.