Hari Ulang Tahun UMNO, Logo Jubli Intan Ke-75 Diperkenal

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Menjelang ulang tahun UMNO ke-75, Ibu Pejabat UMNO memperkenalkan logo Jubli Intannya hari ini.

Dalam satu kenyataan media, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan melampirkan logo terbabit yang diperolehi melalui satu pertandingan anjuran Ibu Pejabat UMNO.

“Logo ini bolehlah digunakan dalam ucapan dan sebaran sempena Hari Ulang Tahun UMNO Ke-75,” maklumnya.

Dilaporkan, pada awal tahun ini, UMNO telah menjemput warganegara Malaysia untuk menyertai pertandingan sempena Sambutan Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 penubuhan UMNO pada 11 Mei 2021 ini.

Pertandingan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Penulisan Puisi, Video Pendek dan Mencipta Logo yang bertemakan ‘Jubli Intan UMNO, Jasa dan Perjuangan’.

Pertandingan ini terbuka kepada individu yang berumur 16 tahun dan ke atas. – UMNO Online