‘Lockdown’: Jentera UMNO Harus Siap Siaga Berkhidmat, Teruskan Tradisi Bela Rakyat – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru kepada seluruh pemimpin UMNO di peringkat akar umbi serta jentera UMNO supaya turun ke bawah mendegar keluh kesah rakyat yang terkesan akibat PKP penuh dilaksanakan kerajaan.

Katanya yang juga Menteri Kanan Pertahanan, jentera UMNO di setiap peringkat harus berada dalam keadaan bersiap siaga dan sedia berkhidmat termasuk menyalurkan sumbangan kepada mereka yang terjejas ketika ‘total lockdown’ ini.
“PKP penuh yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan bagi membendung dan memutuskan penularan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan agar mematuhi SOP COVID-19 kerana kita lah yang menjadi penentu kejayaan sama ada penularan wabak ini dapat diputuskan ataupun tidak.

“Dua minggu yang kritikal ini saya menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya patuh pada SOP yang telah ditetapkan dan duduklah di rumah jika tiada keperluan untuk keluar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bera, UMNO sememangnya berpegang kepada tradisi membela kebajikan rakyat yang menjadi teras perjuangan sehingga parti keramat ini terus kekal relevan sampai ke hari ini.

“Tradisi membela nasib rakyat perlu terus diperkasakan ketika pandemik COVID-19 ini. UMNO perlu menjadi juara membela nasib rakyat.

“Namun dalam melaksanakan tanggungjawab ini, pastikan pematuhan SOP sentiasa dijaga dan amalkan kawalan kendiri yang ketat,” katanya lagi.

Dilaporkan, Jumaat lalu Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Mengenai Pengurusan COVID-19 telah memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh atau total lockdown sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula esok. – UMNO Online