Vaksinasi COVID-19 Negara Lambat? Rumusannya, Ia Tertakluk Kepada Beberapa Proses

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Berdasarkan kepada beberapa maklumat yang diperolehi, Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan merumuskan bahawa untuk menaikkan kadar vaksinasi COVID-19 rakyat negara ini bergantung kepada beberapa proses.

Menurutnya, ia banyak tertakluk kepada keupayaan perundingan untuk mendapatkan bekalan vaksin, kelulusan dari pihak berwajib, pembekalan dan juga dari segi logistik.

“Di sini kita mesti faham point paling utama bahawa kelajuan imunisasi kita tertakluk kepada bekalan. Kita buat apa pun, urus macam mana pun, kalau vaksin tak ready tak sampai, tak guna. So apa cerita bekalan ni?

“Kita tahu vaksin bukan ada dalam gudang warehouse yang kita boleh bayar terus dapat. Kena runding dan lock harga kemudian buat belian..buat tempahan. Tunggu vaksin sampai barulah kerajaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) boleh nak buat proses vaksinasi. Satu dunia buat tempahan. Ada beberapa pertimbangan, tapi secara lazimnya, lagi cepat satu negara itu order lagi cepat ia dapat,” ujarnya dalam satu video penerangan mengenai isu vaksinasi COVID-19 yang dikatakan lambat untuk rakyat negara ini di Facebook miliknya dan UMNO Online.

Begitu juga jelasnya mengenai perbandingan kecepatan bekalan yang diperolehi oleh negara-negara jiran dan lain-lain negara yang bergantung kepada keupayaan negara tersebut.

“Malaysia buat tempahan pertama bulan 12, 2020. Kenapa lambat? Kenapa Singapura dan Indonesia dapat cepat? Jawapannya adalah kerana Singapura buat tempahan awal dan menetapkan bajet hampir SGD1 bilion, bersamaan dengan RM3.1 bilion untuk perolehan 10 juta dos, berbanding dengan kita, Malaysia peruntukkan RM3.5 bilion untuk 73.5 juta dos.

“Maksudnya harga yang kita berunding sangat kompetitif. Dan maksudnya Singapura sanggup bayar untuk dapat cepat. Kita boleh kritik dan persoal kenapa kita tak bayar lebih untuk jump queue, tapi itu persoalan lain. Yang jelas, Singapura bayar harga tinggi dan dia dapat awal. Kita tidak. Indonesia? Indonesia pula jadi calon bagi ujian klinikal fasa tiga Sinovac dan atas sebab keberkesanan vaksin Sinovac, Indonesia diberi keutamaan dalam perolehan vaksin Sinovac.

“Belum lagi kira negara maju yang kaya dan longgokan vaksin melebihi apa yang mereka perlukan contoh Amerika Syarikat beli vaksin sampai lima kali ganda jumlah populasi, United Kingdom empat kali ganda, Australia tiga kali ganda. Ada negara yang laju dari Malaysia ada yang lambat dari kita bergantung fakto-faktor tertentu,” katanya.

Seterusnya ulas Shahril, setiap tempahan perlulah mendapat kelulusan dari Agensi Regulatari Farmasi Negara (NPRA) di bawah KKM.

“NPRA diiktiraf di peringkat antarabangsa dan segala vaksin yang diluluskan adalah selamat dan berkesan. NPRA luluskan Pfizer bulan Januari, Sinovac dan AstraZeneca bulan Mac 2021. Dia dah lulus barulah order tu complete, barulah pengeluar hantar ke sini atau Pharmaniaga boleh botolkan.

“Dua lagi vaksin belum dapat kelulusan adalah CanSino dan Sputnik V. Sebab itu kita tak dengar soal bekalan CanSino dan Sputnik, sebab NPRA belum lulus,” katanya.

Tambahnya lagi, mengenai soal logistik dan pentadbiran.

“Ada satu proses dinamakan lot release, pun di bawah NPRA. Kena semak, pastikan semua okay barulah dilepaskan untuk ke Pusat Vaksinasi. Contoh, minggu lepas AstraZeneca hantar lebih 500 ribu dos, dan Sinovac hantar lebih 500 ribu dos. Namun hanya akan digunapakai pada 6 haribulan Jun? Lebih kurang dua minggu.

“Lambat ke? Bila ambil kira logistik, untuk hantar bekalan ke setiap negeri dan juga lokasi PPV (Pusat Pemberian Vaksin), mungkin okay mungkin juga boleh dipercepat. Sekali lagi mungkin NPRA, kerajaan boleh semak prosedur andai kata ada kaedah yang mampu menjimat masa,” tambahnya.

Justeru, Shahril yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia berharap semua proses yang berkaitan akan berjalan cepat dan lancar agar 80 peratus imuniti kelompok capai sasaran pada Disember ini.

Walaupun begitu, Shahril berpandangan perkara yang ditimbulkan ini sepatutnya ia dibincang dan bahas di Parlimen, tetapi tidak berlaku kerana Parlimen telah lockdown sejak sekian lama.

“Tapi kalau Parlimen lockdown pun, kerajaan mestilah main peranan untuk memberi komunikasi yang lebih mantap. Contohnya JKOM (Jabatan Komunikasi Komuniti) buatlah sesuatu untuk berikan penerangan kepada rakyat, rakyat boleh faham kenapa bekalan lambat, bila nak sampai, barulah rakyat tidak panik,” gesanya.

Jelasnya juga, banyak pihak yang telahpun mainkan peranan dalam menjayakan pendaftaran vaksinasi ini.

“Alhamdulillah termasuklah UMNO untuk menggalakkan kadar pendaftaran di kalangan rakyat. Malah di sesetengah tempat contohnya di Pasir Gudang UMNO dan Pemuda UMNO di situ memberi khidmat pengangkutan ke pusat vaksinasi,” katanya. – UMNO ONLINE