Segerakan Sidang Parlimen, Hormatilah Titah Raja, Bahas Tuntutan Rakyat – Dr Asyraf

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Pemuda UMNO menyokong penuh titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah untuk Parlimen dapat bersidang secepat mungkin bagi membahaskan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani COVID-19.

Ketuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sewajarnya istilah ‘secepat mungkin’ yang digunakan Seri Paduka Baginda amat jelas memberikan indikasi untuk Parlimen dibuka segera.

“Ini diperkukuhkan lagi oleh kenyataan media Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan sokongan DYMM Raja-Raja Pemerintah yang turut senada dengan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

“Pemuda amat terkilan dengan sikap Kerajaan yang dilihat cuba berdolak-dalih dan mempolemikkan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ seolah-olah tidak menghormati titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Bagi Pemuda UMNO, tegas Asyraf sidang Parlimen ini amat mustahak untuk disegerakan bagi membolehkan suara, harapan dan pelbagai tuntutan rakyat yang sedang dalam keresahan dan kesempitan di kala pandemik Covid-19 dapat diperbahaskan dan diangkat secara rasmi oleh wakil-wakil mereka yang telah dipiilih melalui sistem demokrasi berparlimen.

Justeru, tegasnya lagi Pemuda UMNO mendesak agar Kerajaan segera mengeluarkan notis panggilan bagi membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat 1 Ogos 2021 bagi mentaati dan menghormati titah pandangan dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Pemerintah.

“Kegagalan melaksanakan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah ini boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan!

“Pemuda UMNO juga akan mendesak kepimpinan tertinggi UMNO untuk membuat keputusan tegas sekiranya Kerajaan tidak mengadakan sidang Parlimen dalam tempoh terdekat. Ini seiring dengan asas dan tujuan perjuangan UMNO untuk sentiasa membela dan mempertahankan kepentingan Raja-Raja Melayu sebagaimana Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” ujarnya.- UMNO Online