Masa Depan Tabung Haji Bukan Di Bawah BNM Tetapi Melalui Kepimpinan Berwibawa – Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangan beliau berkenaan cadangan kerajaan untuk meletakkan Tabung Haji (TH) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, perubahan ini akan memberi kesan kepada institusi itu malah peranannya akan diperlakukan sebagai sebuah agensi kewangan dan tabungan semata-mata.

“Ia akan hilang potensinya sebagai sebuah dana amanah dengan misi yang lebih besar dan mulia, iaitu pemerdayaan ummah. TH adalah dana mahsul yang sangat strategik kepada kepentingan umat Islam di negara ini.

“Justeru, saya menyeru agar TH dijadikan sebuah national trust atau institusi kepercayaan nasional yang ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah.

“Serahkan pentadbirannya kepada Lembaga Pemegang Amanah yang dianggotai oleh individu paling dihormati dan berwibawa, termasuk jika perlu tokoh antarabangsa,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelas Mohamad lagi masalah TH bukan lagi disebabkan kawal selia namun masalah sebenarnya ialah berkenaan kepimpinan terbaik, amanah dan kompeten.

“Masa depan TH bukan pada meletakkan ia di bawah BNM, masa depannya ialah pada kepimpinan yang boleh membongkar potensinya sebagai dana amanah dan pemberdayaan paling produktif untuk ummah.

“Saya mengajak umat Islam menyatakan pendirian tegas agar, kerajaan mengembalikam TH ke peranan strategiknya semula, selaras dengan semangat penubuhan TH itu sendiri , insya-Allah,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, selama puluhan tahun di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN), TH telah berjaya diperkasakan sebagai adalah agensi pengurusan jemaah haji terbaik di dunia dan institusi pelaburan umat Islam yang canggih dan mampan.

“Kerajaan BN telah dengan jayanya menterjemahkan idea besar Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz, pendiri dan pengasas Tabung Haji.

“Kepelbagaian pelaburan TH telah menjadikan ia lebih besar dan lebih hebat dari hanya satu tabungan yang bebas daripada unsur riba dalam membantu umat Islam menunaikan fardu haji.

“Melaluinya, jutaan umat Islam menikmati kos haji yang terendah di dunia, tidak membebankan dan dengan perkhidmatan haji yang terbaik,” kata beliau lagi.

Kementerian Kewangan sebelum ini menerusi kenyataan memaklumkan Jemaah Menteri telah bersetuju untuk menambah baik pengurusan dan operasi Lembaga TH secara menyeluruh yang antara lain melibatkan cadangan dasar model baharu operasi dan semakan pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Selain itu, Jemaah Menteri turut bersetuju dengan penyenaraian TH sebagai institusi kewangan Islam yang ditetapkan di bawah Seksyen 223 Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia BNM. – UMNO Online