Demokrasi Berparlimen Sedang ‘DiCovidkan’… Rakyat Faham Hanya Alasan Politik – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Dewan Negara sepatutnya bersidang mulai hari ini namun kerana Parlimen telah ditangguh, sidang itu juga tiada, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pontian, demokrasi berparlimen di negara ini semakin gersang dan sedang ‘diCovidkan’.

“Sudah hampir hendak dikafan. Amat tidak sihat utk imej negara di mata dunia. Ya demokrasi berparlimen di Malaysia sedang ‘diCovidkan’, sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara ditangguh,” katanya menerusi ciapan dalam twitternya, hari ini.

Katanya, rakyat juga faham bahawa apa yang sedang berlaku itu hanya alasan politik.

“Suara Ahli Parlimen cuma lima minit setelah tunggu tujuh bulan. Suara ahli-ahli Parlimen ‘dikuarantin’. Tentulah tidak puas hati kami makin tenat,” tegasnya lagi.

Pada Sabtu, media melaporkan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin menerusi satu notis kepada semua Ahli-ahli Dewan Rakyat memaklumkan, Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada 2 Ogos ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Jelas Nizam, permakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dengan keputusan tersebut, Sidang Khas Dewan Rakyat yang tertangguh telah menye¬babkan status pembatalan Or¬dinan Darurat tergantung, apatah lagi kemelut berkaitan Ordinan Darurat ketika ini dibatalkan tanpa melalui perbahasan dan kelulusan Parlimen selain belum mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong. – UMNO Online