Kerajaan Yang Dibina Selepas Ini Diharap Kerajaan Yang Berjaya Jaga Rakyat Dan Negara

KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berharap kerajaan yang akan dibina selepas ini adalah sebuah kerajaan yang berjaya menjaga serta memberi tumpuan terhadap beberapa aspek untuk kepentingan rakyat dan negara.

Menerusi perkongsiannya di Facebook, beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian seterusnya menambah apa yang utama adalah keprihatinan terhadap rakyat termasuklah soal agama, kesihatan dan sebagainya.

“Moga selepas ini Kerajaan yang dibina adalah Kerajaan yang berjaya menjaga agama, kesihatan, ekonomi, sosial, pendidikan. Prihatin terhadap rakyat.

“Moga Kerajaan gagal sudah menjadi sejarah. Moga perpaduan negara dapat dicapai,” ujarnya.

Menerusi perkongsian yang sama sebelum itu, Ahmad Maslan turut berkongsi tentang calon Perdana Menteri.

“Berpadu bersama Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Datuk Seri Mohamad Hasan, Penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak serta Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Dihantar hanya satu nama sebagai calon Perdana Menteri oleh Ahli Parlimen UMNO dan BN pada 17/8/21 iaitu Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Jangan zalim kepada rakyat. Tegakkan adil dan benar pada setiap masa. Moga Allah SWT memberkati usaha kami,” ujarnya. – UMNO Online