Pemilihan UMNO Tangguh Ke Satu Tarikh Sebelum 29 Disember 2022 – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan Ibu Pejabat UMNO telah menerima surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM/RoS) yang memutuskan bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur.

Sehubungan itu katanya, pemilihan jawatan UMNO untuk Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan adalah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kepada RoS iaitu sebelum 29 Disember 2022.

“Pada lewat petang 30 Ogos 2021, saya telah menerima surat daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) / Ketua Pengarah Tn Hj Jasri Kasim, rujukan surat PPM/WKL 251/88 JLD. 11 (1).

“Berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah saya dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, adalah didapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.

Walaupun begitu, katanya, mesyuarat tahunan untuk cawangan, bahagian dan Perhimpunan Agung (tanpa pemilihan) dengan kehadiran 1/4 korum masih perlu diadakan pada tarikh dalam 2021 ini dan tarikh-tarikhnya akan dimaklumkan kemudian.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bersabar dalam hal tersebut termasuklah RoS yang memberikan kerjasama kepada UMNO.

“Terima kasih diucapkan kepada Presiden, Timbalan, Naib-naib Presiden, Ahli MKT kerana memberi panduan dan juga kepimpinan UMNO serta ahli yang sabar dan tabah melalui episod yang berlaku.

“Terima kasih kepada KP RoS dan pegawainya yang telah memberikan kerjasama baik di sepanjang semakan dan pertemuan kami.

“Salam perjuangan. Salam Merdeka 31 Ogos.” – UMNO Online