Peluang Pekerjaan Dan Skim Pencen Sosial Mampu Pulihkan Kedudukan Kewangan Rakyat – Shahril

KUALA LUMPUR, 26 Sept – Ketua Penerangan UMNO Malaysia Shahril Hamdan berpandangan kerajaan memerlukan penyelesaian yang meliputi jangka masa pendek dan panjang dalam memulihkan kedudukan kewangan rakyat.

Katanya ini kerana sebelum program pengeluaran  Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilaksanakan lagi akibat COVID-19 simpanan kewangan rakyat Malaysia sudah berada pada takat yang rendah.

“Cabaran jangka pendek ialah untuk memulihkan kedudukan kewangan rakyat kebanyakan bukan hanya B40 tapi lebih ramai sebenarnya.

“Cabaran jangka panjang ialah bagaimana menangani isu tahap simpanan rakyat.

“Kedua-duanya perlukan intervensi yang mapan yakni penyelesaian yang mampu berterusan bagi mengganti sebarang penyelesaian sementara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian sebagai respon daripada KWSP yang memaklumkan jumlah simpanan pencarum mencatatkan 46 peratus mempunyai kurang RM10,000 dan dari jumlah itu hampir 40 peratus mempunyai simpanan kewangan kurang RM1,000.

Shahril yang juga merupakan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Malaysia berkata untuk cabaran jangka pendek tiada pengganti yang lebih baik melainkan penyelesaian mengenai peluang pekerjaan.

“Selagi pasaran pekerjaan hambar dan pengangguran berlegar pada 700,000 hingga 1 juta, selagi itu kita terperangkap dengan masalah ini. Sama ada skim Job Bank atau apa sahaja usaha lain, saya berpandangan jawapannya ialah ‘jobs, jobs, jobs’.

“Bila rakyat mampu kembali meraih pendapatan bulanan, terutamanya pada kadar yang sepatutnya, barulah kita benar-benar sudah atas jalan pemulihan. Moratorium, iCitra, waima Bantuan Khas COVID-19 sekalipun tak akan dan tidak cukup mampu menyelamatkan keadaan untuk tempoh lama lagi.

“Ia sesuai untuk suatu tempoh ketika sebagai ‘plaster’, tetapi tidak merawat dengan menyeluruh tidak seperti peluang bekerja. Apabila bekerja, secara keseluruhannya kita mengeluarkan output untuk ekonomi (supply side) dan meraih pendapatan (demand side). Golongan muda khususnya, sudah mendahagakan peluang bekerja dan berusahawan. Cuma peluang itu mesti dibuka lebih meluas,” tegas beliau.

Sementara itu untuk penyelesaian bagi jangka masa panjang pula beliau berkata ianya memerlukan tindakan berani daripada kerajaan untuk lebih menjamin kedudukan kewangan untuk hari esok.

Menurutnya ada pelbagai pilihan untuk dipertimbangkan namun beliau mencadangkan agar kerajaan melaksanakan skim pencen sosial.

“Di mana selain caruman KWSP yang sudah semakin mengecil dan tidak meliputi segenap segmen pekerja, pesara di bawah sesuatu tahap pendapatan diberi kewangan bulanan.

“Saya tidak menolak kebarangkalian rasionalisasi program subsidi kerajaan di samping perubahan rejim percukaian perlu dipertimbangkan bagi memudahkan tax-funded social pension scheme ini berlaku.

“Mungkin ada juga pilihan untuk kerajaan selepas ini menyumbang kepada caruman selain caruman dari pekerja dan majikan walaupun mungkin tidak dengan nisbah 1:1 dan tidak selamanya,” ujar beliau.

Jelas Shahril lagi perubahan pendekatan ini sesuai dengan matlamat peralihan ke fasa endemik sekaligus membantu jutaan rakyat Malaysia yang telah melihat pendapatan dan simpanan mereka menguncup dengan begitu mendadak.

“Apa sahaja gabungan pilihan yang diambil (saya guna istilah ‘gabungan’ kerana one size does not fit all), semoga idea ini dan sebarang idea lain yang menawarkan penyelesaian tuntas dapat dikaji lebih mendalam oleh kerajaan dengan analisa dan data yang ada,” katanya. – UMNO Online