Mendepani PRU15, UMNO Perlu Bersifat Anjal Depani Realiti Politik – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO perlu bersifat anjal bagi mendepani realiti dan mengikut acuan politik sedia ada.

Katanya ini kerana beliau menjangkakan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan tidak ada parti yang akan menang secara mutlak untuk membentuk kerajaan lantaran pola pengundian pada PRU14 yang lalu dikhuatiri akan mempengaruhi keputusan PRU akan datang.

“Kita harus berpijak kepada realiti politik baharu dan telahan saya PRU15 nanti tidak akan ada satu pun parti politik yang dominan seperti dominannya Barisan Nasional (BN) dengan parti-parti gabungan yang ada di dalam BN untuk membentuk kerajaan.

“Saya amat khuatir PRU15 akan berlaku pola pengundian yang sama seperti PRU14 dan ini cukup bahaya maka keanjalan politik harus difikirkan daripada sekarang bagi pembentukan sebuah kerajaan baharu selepas PRU15.

“Maka di dalam hal ini bukan hanya formula tetapi equation harus dilihat bagaimana kaedah yang terbaik agar keutamaan kepada rakyat harus dilihat terutamanya soal kesihatan, pendidikan dan ekonomi,” katanya yang juga Pengerusi (BN) .

Beliau berkata demikian pada program Jawab, Saya Tanya! PRU15: Membentuk Atau Membina Arus? menerusi siaran langsung di Facebook NR ChannelTV yang dikendalikan oleh moderator Rafi Awang Kechik.

Berkaitan dengan jajaran baharu politik, kata Ahmad Zahid, ia adalah kaedah untuk menentukan hala tuju mengikut acuan politik.

“Saya mengambil contoh apabila saya menyebut jajaran politik di Perak ketika UMNO mempunyai jumlah yang cukup untuk menjadi kerajaan negeri semula maka ketika itu kita merasakan di negeri Perak adalah negeri pertama melibatkan kerjasama antara pelbagai parti harus diwujudkan.

“Maka jajarannya adalah walaupun kita bekerjasama dengan parti-parti politik itu namun mereka tidak meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka untuk menjadi exco.

“Pada ketika inilah perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) diberikan iaitu peruntukan oleh ADUN atau ahli Parlimen kerajaan diperolehi sama dengan peruntukan yang diterima pembangkang,” ujar beliau.

Jelas Ahmad Zahid, jajaran tersebut terbukti berhasil kerana melalui undi percaya yang dilakukan ketika sidang DUN negeri menyaksikan sokongan sebulat suara terhadap kepimpinan Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

“Jadi maknanya jajaran politik yang begitu bersandarkan anjalan yang telah dirunding,” tegas beliau. – UMNO Online