PRN Melaka: UMNO Belum Putus Sebarang Kerjasama… Fokus Calon Boleh Menang – Zahid

ALOR GAJAH, 20 Okt – UMNO masih belum memutuskan sebarang kerjasama dengan mana-mana parti politik lain dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang akan berlangsung pada 20 November ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebaliknya menyatakan bahawa pada ketika ini UMNO hanya mahu memberi fokus kepada calon-calonnya yang boleh membawa kemenangan kepada parti.

Tambah Ahmad Zahid, keputusan muktamad mengenai kerjasama tersebut hanya akan diumumkan selepas Mesyuarat Biro Politik dan juga Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO serta diikuti mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang akan diadakan pada minggu depan atau satu tarikh sebelum hari penamaan calon.

Walaupun begitu, beliau turut mengakui bahawa pelbagai pihak menemuinya untuk memberi pandangan mengenai isu PRN Melaka, tetapi Ahmad Zahid masih bertegas keputusan muktamd hanya akan diumumkan pada masa yang sesuai.

“Pelbagai pihak datang kepada kami dan kami berlapang dada serta berfikiran terbuka. Siapa sahaja yang mahu memberikan pandangan kami terima namun segala keputusan kita putuskan secara kolektif apabila tiba masanya,” jelasnya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 Nov sebagai tarikh pengundian bagi PRN Melaka, dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 8 Nov manakala pengundian awal pada 16 Nov.

DUN Melaka dibubarkan pada 4 Okt lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – UMNO Online