UMNO Mungkiri Piagam MN? Satu Pandangan Tersasar – Mohamad

KUALA LUMPUR, 5 Dis – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tanpa terkurang rasa hormatnya kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang, beliau menegaskan bahawa pandangan Presiden PAS itu bahawa UMNO telah memungkiri piagam Muafakat Nasional (MN) adalah tersasar sebenarnya.

Tegas Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), UMNO tidak pernah mungkir pada piagam MN.

“Kepada rakan-rakan dalam PAS, janganlah kita lupa bahawa MN tidak ditubuhkan dengan matlamat PPBM mesti menjadi sebahagian darinya.

“Malah salah satu sebab MN itu dibidani kelahirannya ialah untuk menentang PH (Pakatan Harapan). PPBM adalah komponen PH waktu itu,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

Justeru tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu, untuk memaksa UMNO menerima PPBM adalah bercanggahan dengan semangat sebenar MN itu diasaskan.

“Apalagi bila mengenangkan bagaimana PPBM bersekongkol dengan Dap dalam menentang UMNO dan menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO.

“Kedua, memang benar MN itu harus memayungi semua orang Melayu. Namun sesiapa jua yang ingin kita bawa masuk ke MN mestilah serasi dengan kepentingan UMNO dan PAS. Piagam MN pula mestilah ditafsirkan selari dengan realiti politik semasa UMNO dan PAS,” katanya.Jelas Mohamad lagi, kerana itu UMNO tidak pernah mengajak PKR, Amanah, PUTRA ataupun Pejuang untuk menyertai MN, walaupun mereka juga sebahagian dari ummah yang berkepentingan.

“Jujurnya kerana UMNO TIDAK MAHU MENYINGGUNG PAS.

“PAS dan seluruh Malaysia telah arif bahawa perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO memutuskan bahawa, UMNO tidak akan melakukan apa jua kerjasama dengan PPBM. UMNO terikat dengan pendirian ini.

“Jadi amatlah munasabah untuk realiti ini difahami dan diterima, sebelum PAS mencadangkan keanggotaan baru dalam MN,” katanya.

Begitu juga ulasnya, Piagam MN adalah persefahaman yang tidak mengikat.

“MN pula tidak kita daftarkan. Sebabnya kerana UMNO mahu orang Melayu melihatnya sebagai wadah untuk semua, dan bukan instrumen politik UMNO dan PAS semata-mata.

“Jadi janganlah dek kerana UMNO tidak mahu menerima PPBM, MN itu PAS tinggalkan. Kepentingan orang Melayu dan Islam itu jauh lebih besar dari kepentingan PPBM menyertai MN. Jadi, janganlah kita melakukan sesuatu yang akhirnya akan menjauhkan lagi orang Melayu daripada MN.

“Semoga Tan Sri Presiden PAS akan terus bersama UMNO dalam meneroka pelbagai dimensi baru dalam membangunkan keberdayaan bangsa Melayu, insya-Allah,” serunya. – UMNO ONLINE