Perjuangan UMNO Demi Generasi Masa Hadapan – Shahril Hamdan

KUALA LANGAT, 12 Dis – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata Pemuda UMNO Kuala Langat akan meneruskan perjuangan khidmat bakti parti untuk masa hadapan.

Menurutnya, perjuangan UMNO tidak akan sesekali tergelincir dari landasan serta berpegang pada agenda dan prinsip perjuangan untuk membela masa depan generasi mendatang.

 

 

“Kita ini bukannya pejuang yang pertama, jauh sekali menjadi pejuang yang terakhir tapi pejuangan masa sekarang memastikan keesokkan harinya agar anak cucu cicit meneruskan legasi UMNO iaitu legasi kepimpinan menjamin masa depan masyarakat, keluarga, negeri dan negara.

“Kita dapat tahu siapa sebenar-benarnya pejuang sejati, siapa yang hanya mencari peluang dan UMNO kini kembali menjadi parti induk kepada kerajaan serta punca utama kestabilan politik negara.

“Banyak usaha ditumpukan kepada kesiapsiagaan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) setelah dua tahun agak terkekang dengan program dan usaha kebajikan yang asas iaitu program kebajikan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat di Jugra Lakeview Banting, di sini, Sabtu.

Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang juga merangkap Ketua Pemuda UMNO Kuala Langat itu menambah pada tahun 2022 Pemuda UMNO Kuala Langat harus memeriahkan gerakan membantu rakyat.

“Dua tahun tidak berapa meriah ataupun terkekang disebabkan pandemik dan tidak boleh bergerak seperti biasa. Pada 2022 Pemuda UMNO Kuala Langat harus memeriahkan dengan pelbagai program-program seperti sukan, menyantuni mahasiswa, peluang pekerjaan, konvoi, keusahawanan dan sebagainya. Semua ini harus mewarnai takwim Pemuda bagi tahun hadapan.

“Bagi saya sudah tidak ada alasan untuk Pemuda UMNO Kuala Langat tidak bergerak dengan lebih laju dan rancak bagi tahun 2022.

“Tidak perlu tunggu saya apabila program itu berjalan dan jika saya keluar kawasan maka jawatankuasa boleh menerajui dan tidak pernah mahu mengekang dalam program yang dijalankan. Kita ambil pengakhiran 2021 sebagai semangat supaya tahun hadapan lebih rancak dan meriah dan insya-Allah boleh jayakan,” ujarnya.

Terdahulu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah memutuskan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri adalah pada 11 dan 12 Disember (Sabtu dan Ahad).

Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian diadakan pada 18 Disember (Sabtu) secara serentak di 191 Bahagian dan akan dirasmikan oleh Ketua UMNO Bahagian masing-masing.

Begitu juga dengan Perhimpunan Agung UMNO yang akan diadakan pada 13 – 15 Januari 2022. Ianya akan diadakan di PWTC dengan kehadiran yang terhad dan juga akan dibuat secara maya. – UMNO Online