Banjir: UMNO Terus Bersama Rakyat, Hulur Bantuan, Sumbangan – Ahmad Maslan


SHAH ALAM, 21 Dis -Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turun padang bersama-sama membantu dan menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan sejak Jumaat lalu.

Beliau yang mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ibu Pejabat UMNO bersama dengan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari membantu memberikan keperluan asas makanan untuk mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah KAFA Integrasi Fastabiqul Khairat, Kebun Bunga Batu 3, Shah Alam, semalam.

“Alhamdulillah kita dapat pergi menyantuni mangsa-mangsa banjir di beberapa tempat antaranya di Ampang, Hulu Langat, Shah Alam, Kota Raja dan Klang serta memberikan bantuan sebagai keprihatinan UMNO kepada mangsa banjir di enam kawasan yang dilawati serta membantu mangsa banjir pada hari ini.

“Mudah-mudahan banjir ini segera surut dan rakyat boleh kembali ke rumah masing-masing dan selepas ini UMNO memerlukan sukarelawan membantu mangsa banjir membersihkan rumah.

“Skuad Sabil, Skuad Sayang, UMNO Cawangan dan Bahagian diharapkan dapat tolong membantu kediaman mangsa-mangsa banjir untuk membersihkan rumah mereka,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Terdahulu ekoran cuaca buruk itu menyebabkan banjir di Lembah Klang terutama sekali di Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke PPS semakin bertambah.

Berikut bukan saja Negeri Selangor mengalami banjir malah Negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), Melaka, Kelantan dan Terengganu turut terjejas banjir akibat hujan yang berterusan. – UMNO Online