KWSP: Pencarum Terjejas Perlu Dibantu Berdepan Musibah Banjir, COVID- Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini membangkitkan persoalan mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang antara lain berkaitan langkah-langkah kerajaan bagi membantu pencarum terjejas pascamusibah.

Menurut beliau, jawapan yang tuntas diperlukan daripada Kementerian Kewangan dalam membantu pencarum yang terjejas dalam musibah banjir dan kesan COVID-19.

“Sebutkan langkah-langkah kerajaan untuk membantu pencarum yang kini simpanan KWSP kurang RM10,000 dari sudut peningkatan pendapatan secara jangka masa sederhana dan panjang lebih-lebih lagi mereka ini ditimpa banjir.

“Bagaimana dengan 6.83 juta pencarum miliki lebih RM10,000 malahan ratusan ribu mengharapkan pengeluaran one-off akibat tekanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan COVID-19?” katanya dalam Persidangan Khas Pengurusan Bantuan Banjir penggal keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO turut menyatakan bahawa di bawah Seksyen 54 Akta KWSP 1991 menyebut bahawa pencarum boleh mengeluarkan wang daripada KWSP bagi kelestarian hidup.

“Seksyen 54 juga menyebut ahli KWSP memerlukan pembiayaan untuk menambah pendapatannya bagi meneruskan hidup bagi maksud mereka in boleh mengeluarkan wang simpanannya. Mohon jawapan yang tuntas daripada Menteri Kewangan,” ujar beliau.

Terdahulu UMNO menerusi Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berterusan memperjuangkan isu pengeluaran i-Citra KWSP RM10,000 secara sekaligus.

Asyraf berkata perkara demikian sememangnya menjadi keutamaan bagi mereka dan berharap keputusan mengenainya dapat dimaklumkan segera oleh kerajaan tanpa menunggu pembentangan belanjawan akan datang kerana rakyat sekarang berada dalam keadaan terdesak. – UMNO Online