Kerajaan-Pembangkang Sudah Tidak Terikat Dengan MoU – Ahmad

KUALA LUMPUR, 24 Mac – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berpandangan memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh kerajaan dan pembangkang sudah terbatal.

Katanya ini kerana, Pakatan Harapan (PH) pada semalam sudah melanggar komitmen tersebut dengan bertindak menolak usul yang dibawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat.

“Pembangkang langgar MoU yang telah ditandatangani. Ini pandangan peribadi saya. Jadi kerajaan dan Perdana Menteri sudah tidak terikat dgn MoU itu.

“Berdasarkan kepada peristiwa semalam di Dewan Rakyat bila KDN kalah undi belah bahagi, maka selamat tinggal MoU. Ayuh kita teruskan melangkah,” kata Ahmad yang juga Setiausaha Agung UMNO menerusi satu ciapan di Twitter.

Terdahulu pada semalam, blok kerajaan gagal dalam mendapat kelulusan bagi usul Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.

Untuk rekod, pada 13 Sept tahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan PH telah menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu. – UMNO Online