UMNO Bersama Rakyat, Keindahan Ramadan Diaplikasi Dengan Laksanakan Khidmat Bakti

PUTRAJAYA – Keindahan Ramadan dengan pengisian penuh ibadah dan kemeriahan menjelang Hari Raya Aidilfitri diaplikasi oleh pemimpin UMNO dengan meraikannya bersama-sama rakyat khususnya mereka yang memerlukan.

Bagi Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, beliau meluangkan masa saban petang dalam Program Maidatul Rahman Putrajaya yang berkonsepkan kebersamaan dalam meraikan bulan Ramadan di samping berbuka puasa beramai-ramai.

“Alhamdulillah, Ramadan ini kita dapat kembalikan tradisi berbuka puasa bersama-sama dengan mengimarahkan surau-surau dan masjid setelah lebih dua tahun ‘sunyi’ akibat pandemik COVID-19.

“Kali ini kita kembalikan inisiatif ini kerana bukan sahaja dapat membantu serta menceriakan rakyat tetapi juga meneruskan amalan pemimpin BN/UMNO dalam melaksanakan khidmat bakti termasuk mengeratkan hubungan silaturrahim.

“Namun kita mesti sentiasa utamakan keselamatan dan kesihatan kerana kita masih belum bebas sepenuhnya,” katanya yang menyumbangkan sistem sanitizer kepada surau-surau sekitar Parlimen Putrajaya.

Beliau juga turut meraikan golongan yang memerlukan terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU), golongan asnaf, ibu tunggal dan anak yatim.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen merangkap Ketua UMNO Bahagian Putrajaya turut disertai isteri, Datin Seri Angraini Sentiyaki telah mengagihkan ‘voucher raya’ berjumlah RM150 kepada 490 penerima yang memerlukan untuk belanja Hari Raya Aidilfitri.

“Ini adalah inisiatif yang saya gerakkan sejak menjadi wakil rakyat di sini malah gerakan membantu rakyat dengan pelbagai cara sentiasa diaplikasi kerana berbakti ketika masyarakat susah sudah menjadi amalan UMNO dan BN sejak dulu lagi.
“Saya pernah anjur program sebegini malah menjadi amalan saban tahun namun selepas Pilihan Raya Umum (PRU-14) macam-macam ketidakstabilan politik kemudian datang pula pandemik COVID-19 yang menyebabkan kita tidak dapat menyambut perayaan dalam dua tahun ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar sumbangan yang dihulur akan dapat menceriakan rakyat yang bakal kembali meraikan sambutan hari raya. – UMNO Online