Cukup-cukuplah Tun Mahathir

Rakyat Malaysia sudah mula muak dengan perangai Tun Mahathir. Beliau kurang relevan kepada politik negara dan zaman beliau sudah semakin berlalu.

Saya beri 3 sebab utama kenapa beliau kurang relevan.

2. Pertama, ketika Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, dasar pro-Melayu/Bumiputera yang beliau lakukan kurang berjaya. Malah beliau sentiasa menyindir dan memperkecilkan orang Melayu dengan panggilan malas dan mudah lupa.

3. Beliau tidak mengutamakan dasar-dasar pro-rakyat seperti BR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai 1Malaysia, kad siswa, Teksi 1Malaysia subsidi bantuan kepada penoreh getah, nelayan dan lain-lain kerana ianya dianggap membazir dan memanjakan orang Melayu.

4. Kongres Maruah Melayu yang dianjur tidak lebih sekadar hangat-hangat tahi ayam. Tiada tawaran konkrit kepada orang Melayu yang diberikan.

5. Jika ada pun, Dasar Kemakmuran Bersama yang dipelopori Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Orang Melayu/Bumiputera masih lagi ketinggalan. Kesenjangan pendidikan dan pendapatan dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak bertambah baik.

6. Baru-baru ini beliau berkata ada banyak perancangan untuk membangunkan orang Melayu namun tidak sempat kerana telah dibuang dan ditolak jatuh dari jawatan Perdana Menteri.

7. Beliau sudah lupa, bahawa beliau lah yang meletakkan jawatan dan mencetuskan konflik pentadbiran. Konflik ini telah menjatuhkan Kerajaan yang diundi rakyat pada PRU-14.

8. Kerajaan 22 bulan beliau itu pun menjadi suatu corak hitam dalam politik tanah air kerana gagal melaksana manifesto yang beliau katakan bukan kitab suci.

9. Kedua, Tun Mahathir sudah tidak lagi mengurus dinamika politik Malaysia. Jika beliau dan partinya diberi kepercayaan mengemudi Malaysia, kestabilan tidak akan dicapai. Parti Pejuang adalah parti ketiga beliau setelah UMNO; keluar UMNO, masuk UMNO; keluar semula UMNO tubuh PPBM; keluar PPBM, tubuh Pejuang.

10. Ketika PPBM di dalam Pakatan Harapan (PH), Tun Mahathir gagal “mengawal” Tan Sri Muhyiddin Yassin dan suatu perancangan ‘scheme of things’ berlaku yang menjadi rahsia umum itu.

11. Tun Mahathir juga gagal “mengawal” Democratic Action Party (DAP) dengan doktrin politik yang dapat memastikan parti itu menjaga kepentingan Melayu/Bumiputera dalam setiap dasar, tindakan dan tutur kata.

12. Ketiga, jika Tun Mahathir melontarkan kata nista kepada Datuk Seri Najib Razak atas terma ‘Cash is King’, beliau patut ingat yang di zamannya, ‘Crony is King’ dan bukan rakyat, rakyat, rakyat yang didahulukan.

13. Ideologi ekonomi dalam mengkayakan segelintir kroni dengan anggapan yang lain akan mendapat faedahnya, sukar untuk menjadi. Hasilnya, kroni beliau yang sedikit itu menjadi kaya dan rakyat biasa, terutama sekali Melayu/Bumiputera masih kurang berjaya sehingga kini.

14. Tun Mahathir pernah mengatakan bahawa beliau tidak pernah ada kroni, cuma ada orang yang layak dan berkebolehan. Mustahil jika dalam 32 juta rakyat Malaysia yang ada, hanya kroni beliau sahaja yang berkebolehan.

15. Igauan ngeri buat Tun Mahathir bermula bila keluar dari “rumah agam” UMNO. Kepimpinannya dihargai apabila menjadi PM paling lama 22 tahun. Walaupun pelbagai dasar dan pendekatannya ada yang berjaya namun banyak yang menemui kegagalan. Tetapi itu Tun Mahathir semasa dalam UMNO.

16. Tun Mahathir tanpa UMNO kelihatan amat lesu dan banyak kontroversi. Bukan Tun Mahathir sahaja, pemimpin lain yang meninggalkan parti keramat ini juga menemui nasib yang sama. Apa yang tidak kena?

17. UMNO melahirkan kepimpinan melalui satu proses tarbiah dan pengalaman yang panjang. Tidak mudah memimpin parti yang mempunyai 22 ribu cawangan dan struktur yang kompleks di peringkat bahagian, negeri dan nasional. Proses pembuatan keputusan dalam UMNO juga melalui proses yang panjang dan teliti sebelum diputuskan.

18. Tun Mahathir sedang berhadapan dengan perubahan lanskap politik yang amat dinamik. Suatu gelombang yang dicipta dengan tujuan untuk menjatuhkan UMNO dan BN tetapi juga melanda dan menghempas sebuah gabungan politik bernama Pakatan Harapan.

19. Siapa Tun Mahathir tanpa UMNO? Parti Pejuang yang diciptakannya hilang deposit di kesemua 42 kerusi ditandingi di Johor. PPBM yang diilhamkannya “berkhianat” sesama sendiri sehingga tersungkurnya pentadbiran Pakatan Harapan. Parti Pejuang hanya ada 4 kerusi Parlimen itupun termasuk dirinya sendiri dan anak beliau.

20. Kegagalan pelbagai dasar dan polisi yang mengganggu gugat kesejahteraan dan keharmonian rakyat ibarat mencurah cuka ke atas luka. Pelbagai kenyataan beliau yang mengguris dan menghiris hati dan perasaan orang Melayu sudah pastinya menambah parah lagi duka yang sedia ada.

21. Siapa Tun Mahathir tanpa UMNO? Beliau sentiasa mengikuti rapat perkembangan yang berlaku dalam UMNO. Sehingga Perhimpunan Agung Khas mengenai pindaan perlembagaan terkini UMNO pun tidak lepas dari pemerhatian. Komen beliau tidak diperlukan.

22. Pembunuhan karakter yang dilakukan kepada pemimpin UMNO tidak mampu merobohkan rumah agam UMNO ini. Dia lupa bahawa UMNO ini bukan milik sesiapa. UMNO milik semua orang Melayu dan terus menjadi penjaga serta pelindung kepada Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Beraja .

23. Kesimpulannya, kemerosotan Malaysia dalam banyak bidang dan arena, adalah banyak juga berpunca daripada tindak tanduk politik Tun Mahathir sendiri.

24. Beliau mungkin Bapa Pemodenan Malaysia, namun beliau kurang berjaya untuk mengemudi Malaysia ke arah modenisasi yang lebih baik buat semua.

25. Untuk itu, beliau perlu menerima realiti tersebut dan cukup-cukuplah !!

AHMAD BIN MASLAN
18 MEI 2022