Mewajah Semula BN Tanpa Memudar Formula Asas Parti – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Jun – Berbekalkan dengan tawaran kesetiaan dan kestabilan, menjadi tanggungjawab bersama untuk mewajahkan semula Barisan Nasional (BN), kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Usaha tersebut ujarnya tanpa sesekali memudarkan formula asas BN yang berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, prinsip kesederhanaan (moderation), toleransi dan integrasi di samping nilai moral dan etika yang tinggi.

Jelas Presiden UMNO itu, bergerak ke hadapan dalam usaha mengembalikan Malaysia yang asal, BN perlu melakukan anjakan paradigma dengan proses pengislahan dalaman dan membuat tawaran yang dapat meneruskan keterujaan rakyat untuk kembali memberikan sokongan.

“Pertama, di peringkat dalaman, BN mesti bersedia untuk keluar daripada kerangka lama dari segi formula pengagihan kerusi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

“Sementara kita sentiasa bertoleransi untuk memastikan wakil-wakil komponen dalam membentuk kerajaan yang majmuk, formula yang saya perkenalkan dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) terkini iaitu prinsip WALI (Winnable, Acceptable and Likeable) ternyata menggamit keyakinan rakyat kepada BN.

“Prinsip WALI ini akan diteruskan dengan mengambil kira potensi, kebolehmenangan, demografi dan situasi politik semasa di setiap kawasan dalam rangka pengagihan kerusi dikalangan komponen BN,” katanya di ucapan dasar Konvensyen dan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-48 BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Kedua tambahnya, menampilkan lebih ramai muka-muka baharu sebagai wajah hadapan BN.

“Kita telah membuktikan 87% muka baharu di Melaka dan 79% di Johor telah menangkap imaginasi pengundi untuk kembali bersama BN.

“Berdasarkan rekod di PRU Negeri Melaka dan Johor baru-baru ini, di kawasan muka-muka baharu yang ditampilkan, kita menang di semua saluran muda termasuk saluran pengundi baharu berumur 18-25 tahun,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Ketiga ujarnya, BN mesti bersifat inklusif dan lebih terbuka.

“Demi memastikan negara stabil dan rakyat sejahtera, BN perlu terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menerima sesiapa sahaja selagi mana mereka menerima prinsip BN yang berteraskan kesederhanaan, yang berpaksikan kepada keikhlasan untuk membela rakyat dan kesetiaan kepada segala pasak negara,” katanya.

Seterusnya keempat, BN perlu menawarkan agenda pembaharuan dan pembaikan (islah dan reform) bagi memperkasakan lagi tatakelola, tadbir urus dan ketelusan dalam pentadbiran, katanya lagi.

“Ini juga termasuklah memastikan institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang tidak lagi dicemari dengan agenda untuk membunuh seteru politik sebagaimana yang berlaku di zaman Pakatan Harapan (PH).

“Seperti mengeksploitasi institusi Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehinggakan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM juga daripada kalangan pemimpin politik.

“Semua ini perlu dijamin agar tidak lagi berulang. Menjadi kerajaan bukan bermakna menjadikan institusi negara sebagai perkakasan,” tegasnya.

Sebaliknya katanya, menjadi kerajaan adalah seperti mana BN bergerak ke hadapan membangunkan kapasiti negara, memakmurkan ekonomi untuk agihan tanpa mengira kaum, mewujudkan peluang untuk anak-anak Malaysia melebarkan usaha dan membina upaya anak-anak muda agar mereka lebih berdaya saing.

Manakala yang terakhir ujar Ahmad Zahid, mengembalikan ekonomi Malaysia ke landasan asal.

“Untuk menjadi negara yang maju berpendapatan tinggi dengan matlamat menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan rantau Asia Tenggara, agihan ekonomi yang saksama, memperhebatkan pelbagai bantuan kepada rakyat berasaskan orientasi ‘need-based’ dan bukannya ‘race-based’.

“Pengurusan ekonomi yang mapan, lebih telus dan berpandukan tadbir urus yang baik dan bagi merancakkan kembali pertumbuhan,” katanya.

Justeru katanya, BN memiliki pengalaman dan kepakaran untuk digembleng bagi menyusun balik usaha-usaha memacu ekonomi dan membantu rakyat yang kini sedang berhadapan dengan kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan keperluan yang meningkat amat mendadak.

“Ini termasuklah pengalaman kita menguruskan ekonomi dalam pelbagai zaman kegawatan dan krisis ekonomi yang hebat,” ujarnya. – UMNO ONLINE