UMNO Selami Keperitan Rakyat, Gesa Kerajaan Tangani Isu Kenaikan Harga Barang

KUALA LUMPUR, 25 Jun – UMNO yang menyelami keperitan dihadapi rakyat ketika ini telah membuat beberapa ketetapan iaitu menggesa agar Kerajaan dapat segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, sepadu dan berkesan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah membincangkan isu-isu yang melingkari kehidupan rakyat masa kini khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak lantaran inflasi dan krisis ekonomi global.

“Sebagai contoh, dalam isu harga ayam, cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbangkan agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan.

“Menegaskan agar subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan Kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup. Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mesyuarat MKT di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato Onn yang dipegerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan ketetapan UMNO yang mendukung keputusan Kerajaan untuk menarik balik keputusan awal bagi pengapungan harga ayam di pasaran dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air.

“Begitu juga komitmen Kerajaan untuk terus menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan tinggi kos bahan api dan kos penjanaan.”

Berkaitan pilihan raya, katanya, mesyuarat juga telah memutuskan agar jentera pilihan raya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti-parti komponen di bawah BN agar tahap kesiapsiagaan jentera BN keseluruhannya berada pada tahap yang tertinggi.

“MKT menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti di bentang segera di Parlimen sebelum PRU-15. Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan.”

Turut dimaklumkan ialah pelantikan Hizatul Isham Abdul Jalil sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

“Saudara Isham Jalil dikenali sebagai aktivis media sosial, berumur 46 tahun dan berkelulusan antara lain Sarjana Dasar Awam daripada Harvard University.” – UMNO Online

KENYATAAN MEDIA

1. Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO pada 24 Jun 2022 telah membincangkan isu-isu yang melingkari kehidupan rakyat masa kini khususnya melibatkan kenaikan kos sara hidup, harga barangan dan perkhidmatan yang meningkat secara mendadak lantaran inflasi dan krisis ekonomi global.

2. Menyelami keperitan yang dihadapi rakyat ketika ini, maka mesyuarat membuat beberapa ketetapan seperti berikut:

2.1. Menggesa agar Kerajaan dapat segera menangani isu kenaikan harga barangan makanan asas rakyat secara holistik, sepadu dan berkesan. Sebagai contoh, dalam isu harga ayam, cadangan untuk mewujudkan Lembaga Unggas Negara wajar dipertimbangkan agar isu ayam dilihat secara menyeluruh dari aspek pengeluaran anak ayam, kos penternakan, kos dedak agar tidak mudah dimanipulasi oleh pihak kartel berkepentingan.

2.2. Menegaskan agar subsidi-subsidi bersasar yang direncanakan Kerajaan seharusnya benar-benar memanfaatkan kelompok rakyat terbanyak yang susah dan derita akibat kenaikan kos sara hidup. Ini termasuklah tidak sewenangnya menarik balik subsidi yang diberikan hanya kerana kelemahan aspek penguatkuasaan.

2.3. Mendokong keputusan Kerajaan untuk menarik balik keputusan awal bagi pengapungan harga ayam di pasaran dan tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air. Begitu juga komitmen Kerajaan untuk terus menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion meskipun berlaku peningkatan tinggi kos bahan api dan kos penjanaan.

3. Mesyuarat juga telah memutuskan agar jentera pilihanraya UMNO di semua peringkat digemblengkan bersama dengan parti-parti komponen di bawah BN agar tahap kesiapsiagaan jentera BN keseluruhannya berada pada tahap yang tertinggi.

4. MKT menegaskan kembali tentang perlunya Akta Anti Lompat Parti di bentang segera di Parlimen sebelum PRU-15. Akta Pendanaan Politik juga perlu diwujudkan agar garis panduan yang jelas mengenai kewangan parti dapat diadakan.

5. Dimaklumkan bahawa Saudara Hizatul Isham Abdul Jalil telah dilantik oleh Presiden UMNO dan mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO . Saudara Isham Jalil dikenali sebagai aktivis media sosial, berumur 46 tahun dan berkelulusan antara lain Sarjana Dasar Awam daripada Harvard University.

DATUK SERI AHMAD BIN MASLAN
24 JUN 2022