PRU15 Untuk Mandat Rakyat Demi Kestabilan, Jentera Perlu Lebih Padu – Ahmad Maslan

KOTA KINABALU, 2 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 perlu dilaksanakan segera untuk kestabilan rakyat dan negara.

Justeru katanya, anggota jentera Barisan Nasional (BN) di seluruh negara mesti padu yang meliputi semua peringkat sama ada di Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Bagaimana untuk menemui pengundi…. kita amalkan formula ABCDE iaitu Alatan, Bersemuka, Cetakan, Digital dan Elektronik,” katanya.

Beliau yang berucap dalam Konvensyen BN Sabah turut menekankan untuk mengekalkan momentum kemenangan BN susulan selepas meraih kejayaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Momentum kejayaan BN pada PRN Sabah iaitu 14 kerusi yang dimenangi. Momentum seterusnya iaitu kemenangan di Melaka, BN menang 21 kerusi daripada 28 kerusi yang bermakna 75 peratus iatu 3/4 bahagian kerusi ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).

“Kawan baik BN iaitu GPS (PRN Sarawak) telah memenangi 76 daripada 82 kerusi atau 92 peratus. Ini satu kemenangan yang sangat besar dan terakhir adalah momentum kemenangan di Johor yang memenangi 40 kerusi daripada 56 atau 71 peratus dan lebih daripada 2/3.

“Kerana itu, penting bagi kita untuk terus mendekati pengundi yang menggunakan jentera semua peringkat termasuklah NGO,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau mengucapkan tahniah kepada BN Sabah kerana berjaya menghimpunkan lebih 5,000 jentera dalam Konvensyen BN yang berlangsung sehari di sini, hari ini. – UMNO Online