Perpaduan Kunci Utama Bawa Dokongan Perjuangan Rakyat – Zahid

BENTONG, 18 Julai – Perpaduan dalam kalangan ahli merupakan kunci utama dalam memastikan asas perjuangan parti terus didokong, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Jelas beliau, pengukuhan ini semestinya memberi kelebihan buat parti bagi menolak daripada berhadapan dengan anasir luar yang semestinya mahu melihat perpecahan berlaku.

“Mana-mana kerajaan atau parti politik jika berlaku perkara ini dari dalaman, kuasa luar akan menentukan perpecahan.

“Malah yang di dalam itu sekiranya mengikut rentak tunggulah ketika parti itu tidak relevan ianya akan terkubur hanya dalam bacaan buku-buku sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penutup Kursus Pilihan Raya Bagan Datuk yang berlangsung di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU) Janda Baik, Bentong, Pahang.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk turut berharap ahli parti mengambil iktibar daripada perpecahan yang terjadi dalam kalangan pemerintah Islam terdahulu yang akhirnya memberi kelebihan kepada musuh.

“Perpecahan dan tiadanya penyatuan akan mengakibatkan kegagalan sebuah kerajaan Islam yang memerintah 800 tahun di Eropah kerana perpecahan dalam kalangan pembesar-pembesar, keluarga pemerintah kini Sepanyol kembali kepada kerajaan Kristian.

“Bagaimana kerajaan Mamluk yang diperintah oleh Turki yang pernah menguasi Mekah dan Madinah tapi keluarga Saud dapat mengalahkan kabilah-kabilah lain di Saudi maka alhijjaz membentuk Arab Saudi,” ujar beliau. – UMNO Online