SUA UMNO Minta Pihak Bertanggungjawab Pastikan Keselamatan Pusat Tahfiz

KUALA LUMPUR, 25 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta semua pihak yang bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan semua pusat pengajian tahfiz.

Menerusi ciapannya di laman Twitter, beliau memberikan respons kepada keratan akhbar tempatan yang melaporkan kejadian kebakaran pondok Tahfiz Madrasah Al Imaniyah, Kuantan pada pagi Ahad.

“Pastikan keselamatan semua tahfiz. Bomba mesti lawat, beri kelulusan atau tidak dan minta baiki apa yang perlu.

“Alat pemadam api yang cukup mesti ada, latihan mencegah kebakaran mesti dibuat,” ciapnya.

Dalam pada itu, Ahmad turut menyarankan pusat tahfiz untuk mengasingkan dapur untuk memasak dan menyediakan pintu dan tingkap yang cukup.

“Asingkan dapur untuk memasak dan pastikan ada pintu dan tingkap yang cukup untuk keluar daripada bangunan,” katanya.

Kejadian kebakaran pondok Tahfiz Madrasah Al Imaniyah yang berlaku pada pagi Ahad mengakibatkan 33 pondok tahfiz lenyap sekelip mata namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana pelajar masih lagi bercuti. – UMNO Online