Fokus Siapkan Parti Hadapi PRU15, Tidak Menurut Keputusan PH, PN Teruskan MoU

KUALA LUMPUR, 28 Julai – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa fokus sekarang adalah untuk mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 untuk diserahkan kembali mandat hakiki kepada rakyat setelah pelbagai episod politik.

Katanya, ini termasuklah lompat-melompat di kalangan ahli-ahli Parlimen sehngga menatijahkan ketidakstabilan dalam negara sehingga ke hari ini.

“Terbaiklah Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak menurut kehendak Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) untuk meneruskan MoU (memorandum persefahaman).

“Sebaliknya beliau mendokong penuh keputusan dan ketetapan UMNO yang diresolusikan secara sebulat suara oleh perwakilan akar umbi dalam Perhimpunan Agung UMNO 2021 dan dipertegaskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya lagi menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam hantaran yang berlainan, beliau memuat naik gambar ‘top five’ kepimpinan UMNO yang mengadakan perbincangan.

“Mesyuarat ‘top 5’ (5 Kepimpinan Tertinggi) UMNO petang tadi menzahirkan dan memanifestasikan suatu kesepakatan dan kesepaduan utuh kepimpinan tertinggi parti.

“Biarpun pelbagai spekulasi, andaian, cerita-cerita picisan dan usaha terancang dilakukan untuk memecahkan kesepaduan ini, Alhamdulillah UMNO terus kukuh berpadu demi meneruskan agenda perjuangan membela rakyat dan menuju ke medan peperangan yang hakiki,” katanya lagi. – UMNO Online