Lupakan Perbezaan, Fokus Gerak Kerja Beri Kemenangan Kepada BN – Zahid

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap jentera parti melupakan perbezaan dalam kalangan mereka dan fokus kepada gerak kerja menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Jelas Presiden UMNO itu ini kerana, kombinasi semua pihak termasuk golongan muda adalah penting untuk menterjemahkan semangat bagi membawa kemenangan kepada calon yang bakal mewakili BN kelak.

“Apabila kita sentiasa di berada di garisan hadapan lupakan perbezaan dalam kalangan kita apabila Puteri UMNO sendiri sebagai pemangkin ertinya anak-anak muda mesti diberikan harapan dan peluang.

“PRU-15 adalah mercu untuk menterjemahkan suara anak-anak muda supaya berada di pentas utama kepimpinan, saya yakin dengan kombinasi semua pihak.

“Begitu juga Pemuda dan Wanita kita jangan pernah menoleh ke belakang dan pandanglah ke hadapan bangun sebagai sebuah jentera yang kuat untuk memenangkan calon-calon BN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Konvensyen Puteri BN yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Turut hadir adalah Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan, Ketua Puteri MIC, Shaliny Rajaram; Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen, Ketua Puteri KIMMA, Rohaini Syed Ibrahim serta barisan kepimpinan lain.

Dalam pada itu, beliau juga turut menyeru sayap wanita muda dalam parti-parti komponen untuk bersama-sama dengan Puteri UMNO untuk berganding bahu memperkukuh BN.

“Puteri UMNO adalah tulang belakang kepada Puteri BN mereka punyai jentera yang kuat tetapi marilah MCA, MIC, PBRS dan Friends of BN bersama… sebagai Pengerusi BN insya-Allah saya akan berikan peluang kepada parti-parti komponen untuk bertanding kali ini.

“Termasuk kepada Puteri tapi bergantung kepada bukti untuk memperkukuh dan memperkasa jentera pilihan raya siapa pun yang bertanding atas lambang BN kita wajib menang dan parti ini perlu dominan semula,” katanya.

Ahmad Zahid dalam pada itu mengingatkan parti-parti komponen untuk tidak berjuang mengenai bilangan kerusi akan ditandingi kerana menyifatkan ianya sebagai formula yang tidak relevan.

Jelas Ahli Parlimen Bagan Datuk itu perkara yang lebih penting adalah melihat kepada bilangan kerusi boleh dimenang malah beliau juga berlapang dada untuk memberikan peluang kepada sayap-sayap parti untuk bertanding asalkan punya potensi untuk BN.

“Kita hanya akan bertanding di kerusi yang boleh dimenangi itulah formula baharu jangan berebut kerusi kalau tidak boleh menang kononnya mahu menjaga rasa malu jika tanding kerusi sedikit, sebenarnya menempah kekalahan.

“Ubah minda itu beri peluang kepada Wanita, Pemuda dan Puteri… bagi mereka membuktikan jika mereka boleh bertanding ertinya boleh meraih kemenangan atas nama BN dengan mengambil pendekatan pelbagai kaum.

“Ada kawasan Melayu, Cina atau bercampur hakikatnya masyarakat majmuk perlukan pemimpin dari parti yang boleh menyelesaikan pelbagai permasalahan. Pendekatan pelbagai kaum harus dilakukan kerana negara kita adalah masyarakat majmuk,” ujar beliau. – UMNO Online