Tekadkan Terus Bersama UMNO/BN, Tolak Fitnah Robekkan Negara – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 23 Ogos – Tindakan pihak tertentu khususnya pembangkang ketika ini yang kembali memburukkan UMNO/Barisan Nasional (BN) adalah untuk mengelirukan rakyat sebagaimana yang pernah mereka lakukan ketika menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Demikian tegas Bendahari UMNO merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Selaras dengan itu beliau mengingatkan rakyat khususnya pengundi untuk waspada agar tidak tertipu dan terpengaruh lagi dengan manipulasi yang dilakukan terhadap UMNO/BN.

“Kita dah lalui zaman Pakatan Harapan (PH) yang berkerajaan malangnya mereka robek sana, robek sini dan rakyat yang menjadi mangsa.

“Mereka lakukan pelbagai fitnah terhadap kerajaan lalu hinggakan ramai yang keliru dan sekarang mereka dah mula kembali iaitu memburukkan UMNO/BN dengan macam-macam cerita. Tukang fitnah Rafizi pun dah muncul kembali dengan cerita-ceritanya yang nak hasut rakyat,” katanya.

Kerana itu tegas beliau, pilihlah kerajaan yang benar-benar telah terbukti bertanggungjawab sebagaimana UMNO/BN menerajui kerajaan sebelum ini.

“Kita akui bahawa UMNO/BN pun tak sempurna juga, tapi kita akan lakukan yang terbaik d emi rakyat. Kukuhkanlah tekad untuk terus bersama UMNO/BN dan jangan pilih lagi mana-mana parti lain,” katanya lagi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Putrajaya berkata demikian dalam ucapan di ‘Program Perpaduan Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ yang diadakan pada Sabtu.
Menerusi program terbabit, beliau mengagihkan ‘Jalur Gemilang’ bagi dikibarkan di kawasan terbabit menjelangnya tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos ini.

Katanya, sebagai warga yang sayangkan negara maka sewajarnya menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan bagi mencerminkan rasa cinta dan sayang kepada tanah air. – UMNO Online