UMNO, BN Perlu Menang PRU, Bukan Menang Sorak Dalaman – Shahril

SHAH ALAM, 4 Sept – UMNO/Barisan Nasional (BN) perlu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, bukan hanya setakat menang sorak sahaja.

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan berkata, sekiranya kita memilih untuk menang sorak, peluang UMNO/BN untuk menakluki Putrajaya amat tipis.

“Kalau kita nak menang sorak, kita mensensasikan isu-isu, kita tuduh, hasut dan lontarkan label kepada pihak dan individu tertentu termasuk dalam parti sendiri.

“Kalau kita nak menang sorak dalam UMNO/BN, buatlah perkara sebegitu. Tapi pada pandangan saya, kalau kita pilih jalan ini, kita tidak akan dapat kesudahan. Ianya akan bercambah dan beranting sehingga merosakkan segalanya,” katanya semasa menyampaikan ceramah di Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Veteran UMNO Negeri Selangor di sini, Sabtu.

Menurut Shahril, sekiranya UMNO/BN mahu menang pada PRU ke-15, parti tersebut perlu obsesi kepada pengundi keseluruhan terutamanya di luar khemah UMNO.

“Sebaliknya, kalau kita nak menang pada PRU ke -15, kita perlu obsesi kepada pengundi luar daripada parti UMNO/BN.

“Untuk dua atau tiga tahun pertama selepas kekalahan kita pada PRU ke-14, saya amat sokong sekiranya kita obsesi kepada hal dalaman sebab kita nak bangkitkan semula semangat ahli parti yang mungkin luntur.

“Tapi pada minggu-minggu atau bulan-bulan terakhir ini kita kena obsesi dengan pengundi luar parti. Tambahan lagi bila ada pengundi baharu begitu ramai. Kita kena berhenti obsesi dalaman dan mengiklankan pula obsesi itu sebab pengundi luar lagi ramai daripada pengundi kita,” katanya lagi.

Tambah Shahril lagi, sasaran utama UMNO/BN adalah untuk membuatkan pengundi atas pagar keluar mengundi dan memilih BN.

“Kita mesti target pengundi atas pagar ini untuk ‘pangkah’ BN dan keluar mengundi. Jadi, apa yang kita kena obsesi dan apa yang mereka mahukan?

“Meskipun rata-rata kajian menunjukkan bahawa mereka dah fed up dengan ahli politik, mereka mahukan kestabilan. Dengan kajian itulah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kita berjaya.

“Kalau nak buat mereka jatuh cinta pada UMNO dalam masa yang terdekat mungkin tidak sempat. Paling utama, kita mesti tunjukkan bahawa hanya UMNO/BN yang boleh memberi kestabilan. Tapi dalaman UMNO kena stabil juga. Semua ini supaya dari banyak-banyak pilihan, dacing juga yang mereka pangkah,” katanya lagi. – UMNO Online