Tun M Masih Belum ‘Move On’ Dengan UMNO – Mohamed Khaled

KUALA LUMPUR, 9 Sept – Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai UMNO jelas menunjukan bahawa beliau terus dihantui dan tidak pernah move on dari parti itu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan Mahathir me label UMNO dengan pelbagai gelaran dan penghinaan sebenarnya bertujuan bagi menutup kegagalan ketaranya dalam mewujudkan alternatif kepada UMNO.

“Eksperimen Tun Mahathir dengan menubuhkan Ppbm sebagai parti yang lebih baik, lebih bersih dan ‘lebih Melayu’ dari UMNO nyata gagal. Mereka yang beliau yakini sebagai tidak korup, berjiwa murni dan bersih, nyata lebih ghairah dengan kuasa dan kedudukan sehingga menolak beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Ppbm. Kegagalan tersebut sudah pastilah sangat memalukan.

“Selepas tersingkir sebagai Perdana Menteri dan dibelakangkan oleh parti yang diasaskannya sendiri, Tun Mahathir menubuhkan pula Pejuang. Seperti biasa, mantera yang beliau ratibkan, Pejuang adalah lebih baik, lebih bersih dan lebih berkemampuan berbanding UMNO dan PPBM,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Jelasnya, parti yang diasaskan oleh Mahathir iaitu Pejuang, tersungkur teruk sekali lagi sehingga kehilangan deposit di kesemua kerusi yang ditandingi ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Menyedari Pejuang tidak mempunyai masa depan sendiri dan ditolak secara besar-besaran, maka Tun Mahathir gagaskan pula Gerakan Tanah Air (GTA). Tun bergerak ke segenap tanah air mengutip mereka yang sebelum ini tidak pun beliau pandang dengan sebelah mata.

“Barangkali, setelah menyedari bahawa strategi tersebut juga belum menampakkan sebarang petunjuk yang memberangsangkan, makan Tun kembali kepada strategi asalnya, iaitu menghentam dan menghina UMNO,” katanya lagi.

Menurut Mohamed Khaled lagi, sekeji mana pun UMNO pada mata Mahathir, parti itulah yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakan beliau setelah persaraannya.

“Dalam perkara ini, Tun Mahathir sebenarnya terlepas pandang beberapa perkara. Pertama, sekeji mana pun UMNO pada kaca mata Tun, UMNO sebenarnya tidak pernah melakukan apa yang Ppbm lakukan pada beliau. UMNO yang meletakkan beliau sebagai Perdana Menteri paling berjaya dan lama serta memuliakan beliau setelah persaraannya. UMNO tidak pernah menikam beliau dari belakang. Tidak pernah.

“Kedua, Tun Mahathir adalah negarawan yang bukanlah calang-calang. Beliau adalah tokoh hebat. Namun jika tokoh seperti beliau gagal menjadikan Ppbm, Pejuang dan terkini GTA berjaya, maka beliau harus menerima realiti bahawa politik zaman dan cara beliau telah lama berakhir.

“Ketiga, jika dibandingkan dengan seteru utamanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR jauh lebih berjaya, bertahan dan lebih lestari. Sudah berpuluh-puluh tahun mereka kekal dalam persada politik nasional.

Jelasnya, Mahathir terus menerus mengambil tahu dan kisah akan UMNO kerana beliau tidak mempunyai pilihan lain.

“Untuk mengkritik dan mengulas tentang pergerakan politik yang beliau asaskan seperti Ppbm, Tun percaya mereka tidak mempunyai masa depan yang jelas. Jadi, mengapa harus membuang masa mengulas perkara yang tidak penting.

“Pada masa yang sama, Tun Mahathir sangat sedar. Aspirasi Pejuang telah berkubur sebelum ajal. Ia tidak menarik minat orang Melayu apalagi sokongan.

“Realitinya, orang Melayu masih memilih UMNO. Parti ini mempunyai tarikan tersendiri kepada orang Melayu. Ia bukan tentang personaliti atau ketokohan tertentu. Malah, orang UMNO sendiri sebenarnya lebih kritikal dan lantang terhadap parti ini berbanding mereka di luar, termasuklah berbanding Tun.

Tambahnya lagi, meskipun UMNO mempunyai kelemahan, parti itu tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil mengatakan UMNO itu keji disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi.

“Pemimpin UMNO bukan maksum. Kami banyak kelemahan. Saya sedar dan akuinya. Kami tidak akan menafikan hakikat atau bersikap apologetik. Ada yang sohor, ada yang khilaf. Namun masa beredar, zaman berubah dan pemimpin juga begitu.

“Tetapi UMNO tetap lestari kerana orang Melayu menghargai bahawa adalah tidak adil disebabkan beberapa orang pemimpin parti terpalit kontroversi, maka segala-galanya tentang UMNO itu korup dan keji.

“Tun, kami memilih untuk bersetia dengan parti dan perjuangan nasionalisme Melayu dan modernisme Malaysia. Kami sedar, hujan panas permainan hari. Susah senang permainan hidup. Apatah lagi parti besar seperti UMNO. Pasti ada pancaroba dan turun naiknya,” katanya lagi.

Hakikatnya, UMNO telah berpandangan ke hadapan serta melupakan segala kisah silam dan kegagalan parti itu sebelum ini.

“UMNO telah moved on. Dari masa silam, dari Tun dan dari kegagalan kami sebelum ini. Kami sedang mengorak langkah menjadi ketumbukan yang bersedia meneroka potensi untuk kembali menjadi Kerajaan pada PRU ke 15.

“Sekiranya Tun memilih untuk terus mengambil tahu dan kisah tentang UMNO, kami tidak boleh menghalang ingatan dan sentimentalisme UMNO yang masih menebal dalam hati Tun,” katanya lagi. – UMNO Online