Data PRK, PRN Rupa-Rupanya Tidak Sehebat Formula Rafizi – Shahril Hamdan

KUALA LUMPUR, 2 Okt – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan secara sinis berpandangan rupa-rupanya data Pilihan Raya Kecil (PRK) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak sehebat formula Rafizi Ramli berkaitan penurunan sokongan Melayu.

Namun tegas beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO,  tidak dapat dipastikan apakah formula survei berkenaan sehingga mendakwa sokongan Melayu kepada UMNO sudah jatuh sehingga 18%.

“Tak pasti apa formula survei Rafizi dan pasukannya. Terbaru, beliau mendakwa sokongan Melayu kepada UMNO dah jatuh sehingga 18%. Dahsyat. Kerana dalam PRU14 (Pilihan Raya Umum 14) pun, BN dapat lebih 40% undi Melayu.

“Kalau dianggap itu data lama, UMNO/BN juga ada buat kajian tapi tidak pernah hendak umum pada semua orang jauh sekali mendabik dada. Kerana kita akur keputusan pilihan raya ialah kuasa rakyat, bukan mana-mana ahli politik. Sesuatu angka mampu naik dan turun mengikut peredaran masa.

“Apapun, ada data yang diketahui umum dan lebih tepat dari semua formula ‘think-tank’ mahupun formula Timbalan Presiden PKR. Iaitu data dalam sesuatu pilihan raya. Boleh lihat sendiri angka undi popular di PRN Johor dan Melaka, merentasi kaum,” katanya menerusi catatan di Facebook.

Shahril seterusnya menambah daripada Rafizi sibuk mendakwa sokongan Melayu terhadap UMNO jatuh, mungkin ada baiknya Pakatan Harapan (PH) kaji sokongan semua kaum termasuk bukan Melayu terhadap mereka.

Sebagai contoh katanya lagi di Yong Peng, kerusi majoriti pengundi bukan Melayu yang terdiri daripada 58% pengundi Cina, 7% pengundi India, 35% pengundi Melayu, Barisan Nasional (BN) bukan sahaja menang kerusi tersebut tetapi tambah majoriti.

“Prestasi PKR pula bagaimana? Adakah rakyat menyokong PKR sepertimana dalam PRU14 dulu? Apa data di PRN Sabah, Melaka, Johor?

“Tapi mungkin formula Rafizi lebih hebat dari semua fakta ini. Jadi kita tunggu sahajalah suara rakyat yang akan menentukan PRU15 nanti. UMNO dan BN sentiasa berwaspada dan menghormati hak rakyat memilih, dan tidak ghairah memperlekeh tahap kekuatan pihak lain,” katanya. – UMNO Online