Ingat PTPTN, Jangan Lupa Manipulasi PH Kelirukan Rakyat – Tengku Adnan

PUTRAJAYA, 6 Okt – Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menekankan bagaimana usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang sentiasa mengutamakan rakyat termasuklah dalam bidang pendidikan dengan mewujudkan bantuan untuk kewangan pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Namun malangnya kata beliau, PTPTN ini telah dimanipulasi dan dijadikan bahan kempen dalam usaha Pakatan Harapan (PH) mengelirukan rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

“Antara janji PH yang paling berjaya mencetuskan gelombang besar dan mengelirukan anak muda adalah janji penghapusan hutang PTPTN, sedangkan ianya tidak menjadi reality apabila berkuasa jadi kerajaan.

“PTPTN ini adalah usaha kerajaan BN bagi membantu anak-anak daripada beban kewangan apabila melanjutkan pengajian di universiti, ia bukan untuk membebankan malah kalua anak-anak menjadi pelajar cemerlang, mendapat kepujian kelas pertama maka PTPTN ini bertukar menjadi biasiswa yang tak perlu diganti

“Ini kerana kerajaan BN takut bahawa anak bangsa Malaysia ini akan menjadi anak bangsa yang ketinggalan, tidak mempunyai pengetahuan, tidak mempunyai pelajaran dan tidak boleh bersaing secara kempotatif di peringkat antarabangsa sedangkan dunia hari ini berdepan pelbagai cabaran,” katanya.

Justeru katanya, untuk PRU akan datang anak-anak muda khususnya pengundi baharu akan bijak membuat penilaian dan memikirkan yang terbaik untuk masa hadapan.

Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendahuluan Pinjaman PTPTN, yang diadakan di Kelab Tasik, di sini semalam.

“Bantuan awal PTPTN ini adalah untuk membeli barangan keperluan bagi anak-anak yang bakal meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Anak-anak barangkali tidak tahu apa yang dirancangkan tapi PTPTN ini diwujudkan semasa kerajaan BN mentadbir sebagai rancangan pendidikan untuk masa hadapan anak bangsa.”

Dalam ucapannya beliau mengingatkan anak-anak muda untuk menghargai kesenangan yang dikecapi khususnya tidak lupa kepada ibu bapa.

“Anak-anak generasi hari ini barangkali dilahirkan dengan semua benda telah ada, tak tahu bagaimana susah payahnya ibu bapa untuk memberi pendidikan dan keselesaan atau kehidupan yang baik untuk anak-anak.

“Anak-anak mesti berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang sentiasa memastikan anak-anak mendapat kesenangan,” katanya lagi. – UMNO Online