Momentum Wanita UMNO Terus Meningkat Berdepan PRU15 – Noraini

PARIT SULONG, 8 Okt – Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad percaya dan penuh yakin momentum Wanita UMNO seluruh negara kian meningkat apatah lagi dengan berlangsungnya Mesyuarat Wanita bahagian yang bermula semalam di seluruh negara.

Menurut beliau platform berkenaan adalah salah satu medium terbaik dalam usaha meningkatkan lagi semangat masing-masing untuk mengukuhkan lagi parti dan mendapatkankan kepercayaan rakyat.

“Saya percaya antara yang dibincangkan adalah soal pemerkasaan parti untuk memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dan saya juga percaya Wanita di akar umbi telah bersedia untuk menghadapi PRU 15 nanti.

“Dengan semangat itu juga kita merasakan bahawa apabila Presiden parti dan MKT umumkan 30 peratus kuota calon Wanita, tentu ianya disambut baik oleh Wanita-Wanita di akar umbi dan kita rasakan ramai Wanita-Wanita yang kita boleh tampilkan sebagai calon

“Kepimpinan Wanita juga insya-Allah… kita juga dalam proses pengkaderan dikalangan wanita-wanita ini untuk kita kumpul CV mereka dan kita jadikan mereka sebagai base… tempat kita buat rujukan,” katanya kepada UMNO Online.

Terdahulu beliau bersama perwakilan Wanita UMNO Parit Sulong mengadakan mesyuarat tahunan yang dirasmikan serentak bersama Puteri UMNO bahagian oleh Datuk Zulkurnain Kamisan selaku Ketua UMNO Parit Sulong.

Dalam perkembangan sama beliau turut menegaskan momentum perlu ditingkatkan supaya menjelang saat-saat akhir segala perancangan dan pelaksanaan berjalan lancar.

“Kita telah mula bekerja sejak kita kalah 2018… sudah semestinya ada perasaan letih, penat dan sebagainya tetapi kebanyakan daripada Wanita sememangnya sentiasa bersemangat sebab kita mahu membentuk kerajaan nanti setelah mendapat kepercayaan rakyat.

“Dan kita menantikan bilakah pembubaran agar gerak kerja itu kita kekalkan ke arah ‘mood’ PRU dalam usaha meyakini rakyat untuk terus bersama UMNO/BN,” ujarnya.

Sementara itu dalam ucapannya, Noraini berkata semangat jentera Wanita setempat dan seluruh negara amat tinggi.

“Di Parit Sulong, perjumpaan sentiasa ditingkatkan dan jentera wanita banyak belajar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas dan kita mahu momentum PRN berterusan… kita perlu kerja kuat untuk menang PRU15.

“Negara perlukan parti stabil dan sejarah menunjukkan hanya UMNO dan BN dapat wujudkan kerajaan stabil… manakala parti lain sebaliknya. Kali ini kita kena pastikan pengundi di bawah bersama BN pada PRU akan datang,” ujarnya.- UMNO Online