Hargai Keputusan 30 Peratus Calon Wanita, BN Peneraju Agenda Memperkasa Wanita

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Wanita Barisan Nasional (BN) mengalu-alukan keputusan Majlis Tertinggi BN yang telah menyatakan komitmen untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan calon wanita dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata dengan kepercayaan yang diberikan ini, Wanita BN yakin, mampu memberikan sumbangan kepada parti dan meletakkan iltizam yang tinggi untuk terus berbakti kepada rakyat dan negara.

“Terima kasih di atas pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan kepada Wanita BN untuk bersama-sama mengambil bahagian dalam menerajui kepimpinan politik negara.

“Wanita BN telah mengenalpasti calon-calon wanita yang berkebolehan dan berpotensi untuk menang dalam PRU15. Senarai tersebut telah diserahkan kepada kepimpinan tertinggi BN untuk dipertimbangkan.

“Menjadi harapan saya selaku Pengerusi Wanita BN untuk melihat calon-calon yang dikemukakan ini diterima baik oleh kepimpinan BN sekaligus memenangi pilihan raya bagi mewakili golongan wanita dan seluruh rakyat Malaysia,” katanya lagi yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Terdahulu mesyuarat Dewan Tertinggi BN berlangsung malam tadi di ibu pejabatnya, Menara Dato Onn, di sini telah bersetuju dengan usaha-usaha untuk mengetengahkan calon-calon baharu yang mempunyai nilai Winnable, Acceptable dan Likeable (WALI) dan berazam untuk mencapai 30 peratus calon Wanita.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN tersebut telah dihadiri oleh Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Presiden-Presiden Parti Komponen dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Dewan Tertingginya. – UMNO Online