Rakyat Diingatkan Hati-hati Politik ‘Spin’, Lindungi Malaysia Dari Penipuan

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Rakyat perlu berhati-hati dengan politik ‘spin’ dan memperdaya lawan Barisan Nasional (BN) kerana itulah kaedah mereka menang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 iaitu memutar belit, mengelirukan dan menghasut rakyat.

Demikian jelas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berikutan ucapan beliau dalam Perhimpunan MIC baru-baru ini telah disalah tafsir.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi BN mengajak kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bersama menolak politik fitnah.

“Sememangnya itulah hakikat sebenarnya menunjukkan sikap yang ada pada diri dan cara mereka sejak azali. Kekeliruan dengan mengelirukan yang akhirnya merantai dosa fitnah yang tidak pernah berkesudahan.

“Semoga kali ini Allah S.W.T melindungi Malaysia daripada penipuan dan pemfitnah,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya berkaitan hal terbabit.

Sebelum itu dalam hantaran berbeza, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa kenyataannya dalam Perhimpunan MIC bermaksud pendakwaan terpilih bermotifkan politik.

“Pendakwaan yang sengaja direka dan diada-adakan oleh musuh BN untuk menzalimi, merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin BN sekiranya mereka menang PRU15 nanti.

“Seperti mana yang mereka lakukan sejurus memegang kuasa pentadbiran negara selepas menang PRU14 pada 9 Mei 2018. Intipatinya adalah pendakwaan politik, pendakwaan terpilih, pendakwaan zalim yang penuh dengan muslihat serta tipu daya demi memperkukuhkan kuasa.

“Namun ianya akan menjadi suci dan selamat jika bersekongkol dan bersama dengan mereka. Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup lompat parti untuk menyelamatkan diri agar terus suci.”

Tegasnya, hentikanlah propaganda seperti itu kerana ia tidak merungkai kebenaran iaitu lawan BN yang sedang takutkan bayang-bayangnya sendiri.

“Lawan BN sedang ketakutan kepada istilah ‘what you give you get back’ selepas kezaliman yang mereka lakukan semasa berkuasa. Sebab itu lawan BN sangat membantah PRU-15 diadakan kerana menjangkakan BN akan kembali mentadbir negara dan membalas dendam.

“Seperti saya nyatakan berulang kali saya tiada sifat dendam, sentiasa memaafkan tapi tidak melupakan. ‘I will always forgive but i will never forget.

“Justeru, lawan BN dan rakan-rakan subahatnya sila tenang-tenang sahaja. PRU15 adalah tentang mengembalikan hak rakyat untuk memilih. PRU15 adalah tentang usaha rakyat mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia. Yakini rakyat buat pilihan terbaik, insya-Allah,” katanya lagi. – UMNO Online