Bantu Rakyat Tiada Dalam Kamus PH – Zahida


KUALA LUMPUR, 20 Okt – Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan bahawa peranan sesebuah kerajaan sudah tentulah untuk mengurus ekonomi dan membantu rakyat namun itu semua tiada dalam kamus Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 yang lalu.

Ini kerana katanya, apa sahaja dasar yang baik untuk rakyat mereka henti dan kurangkan malah pakej-pakej bantuan banyak dipotong dan banyak yang dihentikan.

“Bukan kerana tidak mampu dalam sudut kewangan, tapi sebenarnya kegagalan PH mengurus serta mahu menjayakan propaganda mereka menunjukkan kerajaan BN dahulu teruk,” katanya dalam hantaran menerusi laman facebooknya.

Ujarnya, PH dan serpihannya tak pernah kisah kesusahan nelayan, petani, penternak, penoreh dan kumpulan rakyat yang memerlukan bantuan.

“Yang mereka mahukan kuasa untuk menghukum musuh. Rakyat perlu buat apa? Pemimpin PH minta lupakan kesusahan dan belajar ‘ikat perut’,” katanya lagi yang mengimbas berkaitan pentadbiran PH selama 22 bulan lalu. – UMNO Online