Kerjasama BN, GRS Pastikan Kemenangan Bersama Dalam PRU15 – Ismail Sabri

KIMANIS, 24 Okt – Kerjasama dibentuk antara UMNO/Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di negeri ini bertujuan memastikan kemenangan bersama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Naib Presiden UMNO itu berkata apa yang penting pada PRU15 bukan bilangan kerusi Parlimen yang ditandingi, sebaliknya jumlah kerusi Parlimen dimenangi yang hanya mampu diperolehi menerusi solidariti kukuh antara dua rakan berkerjasama dalam kerajaan Sabah.

Beliau berkata UMNO/BN boleh bertanding di semua 25 kerusi Parlimen di Sabah dan bertembung sama sendiri dengan rakan kerjasamanya GRS, bagaimanapun apa yang terjadi akhirnya bak kata peribahasa ‘yang dikendong tak dapat, yang dikejar keciciran’.

“Untuk menang PRU15 ini kita perlu solidariti dalam UMNO, dalam komponen BN, dan di Sabah bersama rakan kerajaan negeri (GRS). Kita masuk bertanding satu sahaja, nak menang setiap kerusi dipertandingkan, ini nawaitu (niat) kita bertanding,” katanya semasa berucap dalam program Gelombang Biru Barisan Nasional (BN) Zon 3 di sini hari ini.

Program itu dirasmikan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan turut hadir Naib Presiden BN, Datuk Arthur Kurup juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Bendahari Agung BN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Majlis Tertinggi GRS Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.