Persefahaman BN Mantap Bersama GRS Dan GPS, PH/PN Gagal – Zahid

BAGAN DATUK, 18 Nov – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kurang daripada 48 jam untuk menentukan masa depan negara dan melihat semula BN menjadi tulang belakang utama untuk memerintah negara ini.

Justeru katanya, persefahaman dan perhubungan yang terjalin lama antara GRS dan GPS menyebabkan BN tidak bertanding di sana.

“Oleh kerana terdapat 222 kerusi Parlimen yang bertanding seluruh negara, BN tidak meletakkan calon di Sarawak kerana yakin GPS akan memenangi banyak kerusi dan akan tetap bersama dengan BN. Manakala 25 kerusi di Sabah, BN mempunyai persefahaman BN dan GRS dan di Semenanjung BN bertanding 165 Parlimen iaitu UMNO, MCA, MIC dan Friends of BN.

“Berdasarkan dari kajian sikap oleh Jalinan Rakyat Wanita BN, dapati bahawa ‘stock’ pengundi putih telah meningkat, bukan sahaja di kalangan pengundi-pengundi Melayu tetapi di kalangan pengundi Cina, India, Kadazan, Dusun Murut, Orang Asli dan lain-lain kaum.

“Kenapa peningkatan ini berlaku? Kerana rakyat telah mengalami penderitaan selama 22 bulan dibawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) walaupun Perdana Menteri itu mempunyai pengalaman selama 22 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra bersama pengundi di cawangan Taman Lalang Darat, di sini, semalam.

Ujarnya yang juga Calon BN bagi kerusi Parlimen Bagan Datuk, selama bekas Pedana Menteri PH memerintah negara ternyata apa yang dibawa semuanya ‘gagal’.

“Selama 22 bulan beliau mengetuai kerajaan PH dan kerajaan itu telah gagal dan partinya sendiri yang menjatuhkannya. Kekuatan tokoh itu bukan kerana kekuatan peribadinya ianya adalah kekuatan UMNO/BN untuk menentukan bahawa selama 62 tahun kekuatan Perikatan ketika itu di sambung oleh BN.

“Begitu juga selepas PH diambil oleh PN selama 17 bulan dan jelas juga Perdana Menteri ketika itu telah gagal untuk memulihkan ekonomi, gagal menangi masalah COVID-19 tetapi mengalihkan pandangan dengan mengisytiharkan darurat di negara ini sedangkan COVID juga berlaku di seluruh dunia tetapi hanya Malaysia yang darurat, demokrasi digantung, Parlimen pun digantung dan ini jelas bahawa ‘orang’ itu mempolitikkan COVID untuk kepentingan politiknya,” jelas beliau.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Bagan Datuk menjelaskan hasil daripada itu BN telah mengemukakan salah seorang daripada pemimpin UMNO iaitu Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri ketika itu.

“Itu pun pembangkang menuduh Perdana Menteri dari BN adalah ‘tebuk atap’ yang masuk dari atap atas. Jadi bagi membuktikan bahawa kerajaan bukan tebuk atap, kerajaan bukan pintu belakang dan juga bukan dari tingkap maka mandat baharu perlu dan mesti diperolehi oleh kerajaan BN,” ujarnya lagi. – UMNO Online