Elakkan Berita Palsu Dan Fitnah, Punca Keruntuhan Tamadun Bangsa – Zahid

KUALA LUMPUR, 30 Nov – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak semua untuk elakkan berita palsu dan fitnah kerana ia telah dan akan menjadi punca keruntuhan tamadun bangsa.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata demikian menerusi hantaran pendek dalam laman Facebooknya yang turut disertakan dengan video ceramah dari Datuk Badli Shah Alauddin.

Kata Ahmad Zahid, bahaya penyebaran fitnah wajar menyedarkan kita.

“Bahaya penyebaran berita palsu dikupas oleh penceramah wajar menyedarkan kita semua.

“Jangan kerana amarah kita mengenepikan hukum Allah dan rela kemudaratan besar berlaku di negara kita,” katanya.

Menerusi video berdurasi 11.50 minit, Badli Shah menyorot sejarah bagaimana Hang Tuah menerima hukuman bunuh daripada Sultan Melaka akibat daripada berita palsu yang tersebar hingga mengundang kemurkaan. Beliau turut mengimbas kisah-kisah natijah berita palsu yang memusnahkan kegemilangan bangsa termasuk zaman kesultanan Melayu yang antaranya peristiwa pembunuhan beberapa sultan Melayu yang dibunuh termasuklah Hang Nadim. – UMNO Online